Anthony ‘cabar’ MRL, CCCC siapkan baki 5 peratus projek ECRL Disember ini

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 1:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anthony ‘cabar’ MRL, CCCC siapkan baki 5 peratus projek ECRL Disember ini

GOMBAK – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ‘mencabar’ Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) untuk menyiapkan baki kira-kira lima peratus projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seawal Disember ini.

Perkhidmatan ECRL sebelum ini disasarkan mula beroperasi pada Januari 2027, namun kata Anthony, pembukaan lebih awal projek yang telah siap sebanyak 95.08 peratus setakat Julai lalu itu, wajar diusahakan bersempena cuti persekolahan dan hujung tahun.

Anthony berkata, pihak kementerian akan berusaha membantu memudahkan proses ujian dan pentauliahan tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta keperluan teknikal yang ditetapkan.

“Kita akan lihat kaedah bagi memudah cara untuk mengurangkan masa proses ujian dan pentauliahan supaya pengoperasian ECRL ini dapat diawalkan tanpa kompromi kepada aspek keselamatan.

“Kalau semuanya berjalan lancar, kita yakin operasi dapat dimulakan seawal Disember pada tahun ini, bukannya awal tahun depan. Jadi, MRL kena sahut cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Peluncuran Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT), Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL, Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Ujian Keselamatan Operasi Bebas Kerosakan (FFR) Projek ECRL, di Stesen ECRL Gombak, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, ujian SIT Projek ECRL bagi menilai tahap sistem infrastruktur kereta api secara langsung akan bermula pada bulan ini, disusuli ujian FFR pada September depan untuk menilai prestasi tren.

Selain itu Anthony berkata, ECRL juga bakal menerima tren CIT berteknologi tinggi yang bakal digunakan untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer pada Ahad ini.

Tren berkelajuan sehingga 160 kilometer per jam itu katanya, berupaya merekod parameter geometri landasan, memeriksa sistem semboyan kereta api serta meneliti sistem aliran elektrik sistem katenari atas di sepanjang rangkaian ECRL.

“Tren CIT berfungsi menyokong pelaksanaan SIT dan FFR. Ia dilengkapi kemudahan seperti bilik kawalan, bilik persidangan, bilik solat, ruang makan, kabin kelas perniagaan, bilik multimedia dan tandas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Anthony ‘cabar’ MRL, CCCC siapkan baki 5 peratus projek ECRL Disember ini appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved