
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 buat masa ini dan kekal yakin bahawa pertumbuhan dijangka mencapai kira-kira lima peratus, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, sebarang semakan biasanya dibuat semasa pembentangan belanjawan.
“Kita telah mencatatkan pertumbuhan yang melebihi jangkaan sejak tiga suku tahun yang lepas.
“Melihat kepada pemacu pertumbuhan, dari segi penggunaan, pelaburan, eksport, pelancongan dan lain-lain, semua faktor yang mendorong pertumbuhan ini masih ada dan akan terus menyokong pertumbuhan sehingga separuh kedua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.8 peratus.
Beliau berkata, pemacu utama seperti penggunaan, pelaburan, eksport dan pelancongan dijangka terus menyokong ekonomi pada separuh kedua tahun ini.
“Bagaimanapun, beberapa pelarasan terhadap kadar pertumbuhan mungkin berlaku berikutan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya perkembangan geopolitik,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan adalah seimbang, dengan pengurangan ketegangan di Asia Barat, permintaan lebih kukuh terhadap produk E&E serta peningkatan aktiviti pelancongan berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih tinggi.
“Sebaliknya, konflik yang berpanjangan di Asia Barat dan pengeluaran yang lebih rendah daripada jangkaan boleh memberi tekanan kepada ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed menolak kebimbangan bahawa pertumbuhan kukuh ketika ini boleh menyebabkan ekonomi terlalu panas.
“Kita tidak melihat tekanan permintaan yang berlebihan. Permintaan kekal stabil dan berdaya tahan, tetapi tidak berlebihan,” katanya.
Beliau berkata, prospek sektor E&E juga kekal positif susulan permintaan global berkaitan AI.
“Malah, tempoh tempahan syarikat multinasional dalam rantaian bekalan E&E meningkat daripada sekitar empat hingga enam bulan pada awal tahun kepada 12 hingga 18 bulan pada Jun lalu, mencerminkan permintaan yang terus kukuh.
“Penggunaan AI di peringkat global masih pada peringkat awal. Potensinya untuk berkembang dan seterusnya memberi kesan kepada permintaan terhadap produk kita adalah sangat tinggi,” katanya. – UTUSAN
The post Tiada semakan terhadap unjuran KDNK setahun penuh buat masa ini appeared first on Utusan Malaysia.






