Anthony kekal pendirian letak jawatan, tetap sokong Anwar

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 11:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anthony kekal pendirian letak jawatan, tetap sokong Anwar

MELAKA: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pendiriannya untuk kekal meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk berunding mengenai keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu tidak bermakna DAP menarik balik sokongan terhadap Anwar, sebaliknya 40 Ahli Parlimen parti itu kekal teguh menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Penegasan itu dibuat Anthony ketika berucap pada Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini selepas Anwar dalam ceramah sama menyatakan hasrat untuk berbincang semula dengannya berhubung peletakan jawatan.

“Saya letak jawatan sebagai menteri, tetapi saya bukan menarik sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya dan DAP kekal menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

“40 Ahli Parlimen tetap kukuh, tetap tegas memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar. Saya letak jawatan untuk menyatakan pendirian kita,” katanya.

Anthony mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta Selasa lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Beliau berkata, pendirian untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah sudah diumumkan hampir tujuh minggu lalu.

Katanya, beliau berpegang pada janji berkenaan dan tidak akan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sekiranya perkara tersebut berlaku.

“Perkara ini sudah saya umumkan hampir tujuh minggu sebelum ini. Saya kata, Najib balik rumah, saya satu minit pun takkan tunggu, terus berkuat kuasa.

“Saya cakap saya akan buat, saya akan buat. Ini soal kita cakap serupa bikin,” katanya.

Anthony menolak dakwaan peletakan jawatannya sebagai tindakan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan pendirian politik DAP terhadap isu membabitkan Najib.

“Saya hendak tegaskan ini bukan soal tidak hormat kepada Yang di-Pertuan Agong. Kita hormat kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi ini adalah pendirian terhadap Najib, bukannya berkenaan dengan Agong, tetapi berkenaan dengan Najib,” katanya.

Katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan penghargaan terhadap hubungan baik mereka manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyifatkan tindakan peletakan jawatannya seolah-olah mencabar dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila saya letak jawatan ini, pendirian pemimpin UMNO Barisan Nasional (BN) bercelaru.

“Presiden cakap, ‘Saya rindu Anthony Loke ini, dia duduk sebelah saya. Saya ada prinsip pula. Tetapi timbalan presiden pula kata tindakan ini macam mencabar dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

The post Anthony kekal pendirian letak jawatan, tetap sokong Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved