Anthony Loke jelaskan isu cenderahati kepada Xi Jinping

LocalPolitics
22 Apr 2025 • 4:54 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa isu pemberian cenderahati kepada Presiden China, Xi Jinping tidak wajar diperbesarkan atau dijadikan polemik.

Menurut beliau, cenderahati yang diberikan merupakan hadiah peribadi, bukan pemberian rasmi daripada kerajaan Malaysia, dan diperbuat sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Royal Selangor.

“Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan,” katanya.

Terdahulu, satu klip video tular di media sosial menunjukkan Anthony Loke menyerahkan plak ukiran naga kepada Presiden China. Ia turut dikongsi oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di laman Facebook miliknya.

Dalam hantaran tersebut, Nie Ching menyatakan bahawa “Anthony Loke mewakili DAP memberi plak kenang-kenangan kepada Setiausaha Agung Parti Komunis China (CCP)”, merujuk kepada Xi Jinping.

Menjelaskan perkara itu, Anthony Loke berkata pemberian cenderahati berkenaan dilakukan berhampiran pintu belakang atas faktor keselamatan Presiden China, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Asia Tenggara termasuk Malaysia pada 17 April lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa ukiran naga pada plak itu melambangkan kekuatan, kebijaksanaan dan persahabatan dalam budaya Cina, dan menegaskan bahawa ia merupakan hasil kraf 100 peratus buatan Malaysia.