Anthony Loke letak jawatan serta-merta sebaik Najib tiba di rumah

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 5:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anthony Loke letak jawatan serta-merta sebaik Najib tiba di rumah Image from: Anthony Loke letak jawatan serta-merta sebaik Najib tiba di rumah sarah06/11/2026 - 17:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di rumah untuk menjalani baki hukuman penjara, sekali gus menunaikan janji yang dibuatnya sebelum ini.

 

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pendiriannya tidak berubah walaupun pembayaran denda RM50 juta oleh UMNO telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi Jumaat, memandangkan Najib masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

 

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Najib yang dilaporkan meninggalkan Penjara Kajang sebenarnya dibawa ke klinik pergigian untuk pemeriksaan yang telah dijadualkan, bukannya dipindahkan ke kediamannya.

 

“Kalau malam ini jejak rumah, malam ini berkuat kuasa. Kalau esok, esoklah,” katanya pada sidang media hari ini sambil menjelaskan bahawa beliau akan menghantar surat tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana surat peletakan jawatan asal telah diserahkan sebelum ini.

 

Persiapan peralihan tugas sudah dibuat

Anthony berkata, beliau telah memaklumkan pendiriannya kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan pegawai kementerian, selain mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pada tengah hari bagi menyelesaikan urusan pentadbiran serta memastikan kelancaran peralihan tugas.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan yang diberikan sepanjang 47 bulan menerajui kementerian sejak Disember 2022, selain berterima kasih kepada seluruh warga kementerian atas kerjasama dan sokongan mereka.

 

Projek pengangkutan diteruskan seperti biasa

Mengulas mengenai kesinambungan projek kementerian, Anthony memberi jaminan bahawa semua perancangan akan diteruskan, termasuk pelaksanaan inisiatif My50, pengoperasian perkhidmatan pengangkutan yang dijadualkan pada 12 Disember serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang disebutnya dalam sidang media.

 

Anthony turut menegaskan bahawa DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun parti itu berpandangan pemberian tahanan rumah kepada Najib yang terlibat dalam skandal besar negara berpotensi memberikan mesej tidak wajar kepada generasi akan datang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved