Pelaksanaan Tahanan Rumah Najib Wajar Ditangguh, Beri Ruang Untuk Penelitian Lanjut - AGC

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 7:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian lanjut dibuat, berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan undang-undang daripada perintah pelepasan yang dikeluarkan mahkamah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, status penahanan Najib perlu dikekalkan di tempat beliau sedang menjalani hukuman, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan sepanjang tempoh penangguhan.

Menurut AGC, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah bertarikh 18 September 2026, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

AGC menjelaskan, terdapat dua kemungkinan tafsiran yang perlu diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut dapat dilaksanakan.

“Tafsiran pertama menyatakan pembayaran denda RM50 juta hanya menyelesaikan komponen denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih perlu diteruskan sehingga 23 Ogos 2028.

“Dalam keadaan itu, tahanan rumah dianggap sebagai kaedah atau lokasi alternatif bagi membolehkan Najib menghabiskan baki tempoh pemenjaraan, bukannya menandakan hukuman berkenaan sudah selesai sepenuhnya,” menurut kenyataan tersebut. 

Sebaliknya, tafsiran kedua melihat pembayaran denda RM50 juta sebagai syarat untuk membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, sekali gus menyebabkan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai dijalani.

Image from: Pelaksanaan Tahanan Rumah Najib Wajar Ditangguh, Beri Ruang Untuk Penelitian Lanjut - AGC

Menurut AGC, isu berkenaan turut berkait dengan kesan undang-undang Perintah Pelepasan Selepas Pembayaran Denda yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026, setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.

Perintah itu mengarahkan Najib dibebaskan serta-merta, namun pada masa sama menetapkan baki hukumannya perlu dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan syarat pengampunan bersyarat.

AGC turut menjelaskan, kedudukan baki hukuman penjara bagi kes SRC International mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan hukuman Najib dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana terdapat perintah mahkamah yang menetapkan hukuman bagi kes 1MDB hanya bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai dijalani.

Perkara terbabit juga perlu diteliti bersama keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026 yang menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB.

Sehubungan itu, AGC berpandangan penjelasan perundangan yang tuntas perlu diperoleh terlebih dahulu bagi memastikan kedudukan sebenar kedua-dua hukuman dapat dipastikan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan selanjutnya diambil.

AGC menegaskan, penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah itu bukan bertujuan mencabar atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, langkah berkenaan diambil bagi memastikan titah diraja dan perintah mahkamah dilaksanakan dengan tepat, teratur serta selaras sepenuhnya dengan kedudukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jabatan tersebut memaklumkan, tindakan lanjut akan ditentukan selepas proses penelitian dan penjelasan berhubung perkara berkenaan selesai. - Getaran, 6 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved