KUALA LUMPUR - Peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan akan berkuat kuasa sebaik sahaja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pulang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah perintah tahanan rumah.
Loke berkata, keputusan itu selaras dengan pendiriannya sebelum ini bahawa beliau akan berundur daripada Kabinet sebaik Najib mula menjalani tahanan rumah di kediaman sendiri.
Beliau sebelum ini mengumumkan hasrat meletakkan jawatan pada September lalu, susulan pendirian DAP berhubung keputusan Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan diraja bersyarat kepada Najib.
Surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, Loke diminta untuk terus menjalankan tugas buat sementara waktu.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan itu hanya akan berkuat kuasa apabila Najib tiba di rumah, bukannya ketika perintah tahanan rumah dikeluarkan atau sebaik bekas perdana menteri itu keluar dari penjara.
Sementara itu, Loke dijadual menghadiri majlis sambutan Deepavali anjuran Kementerian Pengangkutan pada Rabu ini yang disifatkannya bakal menjadi acara terakhir beliau bersama kementerian berkenaan.
“Itu mungkin majlis perpisahan saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kepercayaan yang diberikan sejak dilantik menerajui Kementerian Pengangkutan pada Disember 2022.
“Terima kasih atas kerjasama dan sokongan Datuk Seri (Anwar Ibrahim) sepanjang saya menganggotai Kabinet,” katanya. - Getaran, 6 November 2026

![[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/NAJWA-NOORYANA-NAJWA-1024x768.jpeg?v=1793986719)




