MUAR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung keputusan merasionalisasikan projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menjadi perhatian susulan titah baginda.
Anthony berkata, beliau menerima teguran Sultan Selangor dengan hati terbuka dan berpendapat pertemuan itu penting bagi memperjelaskan fakta sebenar di sebalik keputusan yang dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan.
“Memang saya akan memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan.
“Hari ini juga ada kenyataan bersama daripada Guan Eng dan Tony Pua berkenaan fakta-fakta yang perlu diketengahkan. Jadi teguran itu kita terima, tetapi saya akan cuba memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal di Bakri, di sini, malam tadi.
Menurut Anthony, penjelasan itu diperlukan bagi memastikan keputusan kerajaan ketika itu tidak disalah tafsir sebagai usaha membatalkan projek pengangkutan awam berkenaan.
“Bukannya soal kita nak membatalkan projek itu, cuma untuk merasionalisasikan kos projek tersebut,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor bertitah bahawa bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas penasihatnya, Tony Pua, tidak memahami kepentingan projek LRT3 apabila skop projek itu dikecilkan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, termasuk pembatalan lima stesen dan pengurangan kapasiti tren.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan pelaksanaan projek tersebut.
Susulan titah berkenaan, Lim Guan Eng dan Tony Pua hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan keputusan merasionalisasikan projek LRT3 dengan menegaskan langkah itu dibuat bagi mengurangkan kos tanpa menjejaskan pelaksanaan keseluruhan projek.






