Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 angkat kepimpinan dan bakat mahasiswa

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 8:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus mengiktiraf sumbangan mahasiswa melalui Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025, anugerah nasional tertinggi yang meraikan kepimpinan, bakat serta ketokohan pelajar institusi pengajian tinggi.

Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025 angkat kepimpinan

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menzahirkan penghargaan kepada semua finalis dengan menyifatkan mereka sebagai tokoh muda berpotensi besar memimpin negara.

“Saudara-saudari yang menjadi finalis melambangkan bahawa anda telah mencapai satu tahap ketokohan yang hebat.
“Walaupun hanya seorang yang dipilih sebagai pemenang, semua finalis adalah kelompok mahasiswa hebat yang akan terus menonjolkan daya kepimpinan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ATSN 2025 yang berlangsung di Putrajaya, pada Rabu.

image is not available

Zambry menegaskan, ATSN bukan sahaja wadah pengiktirafan, tetapi medan penting untuk menggilap kepimpinan mahasiswa secara berterusan.

“Semoga ketokohan yang ada pada mahasiswa kita bukan sekadar memimpin di peringkat universiti, tetapi akan terus membawa kepimpinan itu ke peringkat negara suatu hari nanti,” ujarnya.

11 kategori utama dipertandingkan

ATSN 2025 memasuki edisi ke-9 sejak diperkenalkan pada 2013 dan menawarkan 11 kategori individu termasuk kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, turut dipertandingkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas yang dianugerahkan oleh Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha KPT dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

image is not available

image is not available

Anugerah utama ialah Anugerah Tokoh Siswa Negara yang menjadi kemuncak majlis penganugerahan ini.

image is not available

Penyertaan dan hadiah

Sebanyak 246 penyertaan diterima dari seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) meliputi universiti awam, IPT swasta, politeknik dan kolej komuniti dengan 75 calon berjaya mara ke peringkat akhir.

Pemenang ATSN 2025 menerima trofi eksklusif, sijil pengiktirafan rasmi KPT, wang tunai antara RM1,000 hingga RM5,000, geran mobiliti akademik RM2,000 serta tawaran biasiswa dalam atau luar negara bagi penerima utama.

image is not available

Malaysia sebagai hab pendidikan serantau

KPT yakin penganjuran ATSN akan menjadi penanda aras kepada lahirnya pemimpin muda global berdaya saing melalui kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan dan jaringan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, ATSN juga diharap dapat menjadi jenama kebangsaan yang diiktiraf dunia serta berperanan sebagai jambatan diplomasi pendidikan, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau.