Cenergi raih 3 pengiktirafan dalam kategori RE di Anugerah Tenaga Negara 2025

01/10/2025 - 17:04
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi Cenergi SEA, Ir. Kwok Yew Hoe dan Shamsuddin Sulaiman (tiga dan dua dari kanan), menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025 bagi kategori Tenaga Boleh Diperbaharui – Atas Grid (Kebangsaan) daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada majlis yang berlangsung di ibu negara. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Okt - Cenergi SEA Berhad, anak syarikat UEM Lestra Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju tenaga lestari negara apabila meraih tiga anugerah dalam kategori “Tenaga Boleh Diperaharui – Atas Grid (Grid Kebangsaan)” pada Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2025.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu majlis yang berlangsung pada 25 Oktober 2025.
Tiga pengiktirafan itu ialah pemenang menerusi Loji Janakuasa Biogas Cenergi West 1.56MW, Pulau Carey, Selangor (Loji Janakuasa Biogas Berprestasi Tinggi dengan Fokus Tanggungjawab Sosial Korporat) naib juara menerusi Cenergi NEDA Power Sg. Tiang 11.3MWp, Kedah (Penjana Solar Merchant Pertama di Malaysia) dan penghargaan merit menerusi Loji Janakuasa Biogas Cenergi Langkap 1.56MW, Perak (Projek Kredit Karbon Berasaskan Teknologi Pertama di Malaysia)
Pengiktirafan ini menyerlahkan status Cenergi sebagai pembangun Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) grid bersambung terbesar di Malaysia, dengan 21 loji beroperasi di seluruh negara.
Sejak mula beroperasi pada tahun 2013, Cenergi telah membangunkan portfolio yang pelbagai merangkumi bioenergi, solar dan hidro kecil.
Selain itu, Cenergi turut menjadi perintis dalam inovasi pembiayaan karbon. Loji Janakuasa Biogas Cenergi Langkap 1.56MW merupakan projek kredit karbon berasaskan teknologi yang pertama di Malaysia dan telah diperdagangkan di platform Bursa Carbon Exchange (BCX) tahun ini.
Cenergi juga memainkan peranan penting dalam menyatukan pemain industri sebagai ahli pengasas Persatuan Pembangun Projek Biogas (BPDA) – sebuah platform nasional yang menghimpunkan pemain biogas dan bekerjasama dengan penggubal dasar untuk mempercepatkan pertumbuhan sektor ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada inovasi baharu dalam memanfaatkan sisa sebagai sumber tenaga, di samping mengurangkan pelepasan karbon.
"Kami membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada pengguna melalui pelbagai produk seperti elektrik daripada biogas, solar dan hidro kecil; biometana yang disahkan daripada sisa kelapa sawit; serta Kredit Karbon dan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) yang diiktiraf.
“Kami juga menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi, khususnya dalam memanfaatkan sisa pertanian untuk peralihan tenaga, serta menggalakkan penglibatan lebih luas universiti tempatan," katanya dalam satu kenyataan.
Seiring dengan usaha negara memperkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui, Cenergi mengakui peranan penting Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang dasar serta sokongan mereka terus mendorong penerimaan meluas inisiatif tenaga boleh diperbaharui di seluruh negara.- DagangNews.com
standard




