PUTRAJAYA, 25 September 2025– Seramai tujuh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk satu pasukan berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Anugerah berprestij itu mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam kepimpinan, kesukarelawanan, perpaduan, kelestarian, kesukanan, kesenian dan sinergi organisasi dengan penyertaan ribuan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Finalis UPSI terdiri daripada Ng Zhen Fan Shankar (Anugerah Tokoh Siswa Negara), Nik Ahmad Nuri Nik Ismail (Tokoh Kepimpinan Siswa), Dennis Wong Kien Fui (Tokoh Perpaduan Siswa), Muhammad Haslan Mamat (Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa), Sayed Muzakkir Sayed Hamzah (Tokoh Seni dan Warisan), Abbas Ali Iftikhar Hussain (Tokoh Kelestarian Siswa) serta Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Sidang 2022/2023 (Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa).
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pencapaian itu membuktikan mahasiswa universiti bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah menyerlah dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.
“UPSI sentiasa berbangga dengan kejayaan mahasiswa yang berani mencabar diri di peringkat nasional.
“Kejayaan ini adalah hasil budaya kecemerlangan dan sokongan seluruh warga universiti dalam melahirkan graduan holistik, berdaya kepimpinan serta mempunyai nilai insaniah yang tinggi.
Beliau berkata kejayaan mara ke peringkat akhir juga memberi mesej jelas bahawa mahasiswa UPSI bersedia menjadi duta ilmu dan pemimpin masa depan.
“Pencapaian ini mengangkat nama UPSI di persada kebangsaan, selari dengan visi universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan,” ujar beliau.
Sementara itu, finalis utama Anugerah Tokoh Siswa Negara, Ng Zhen Fan Shankar, beliau berasa amat bersyukur atas peluang yang diberikan untuk mewakili UPSI dan merakamkan penghargaan kepada universiti yang sentiasa menyokong pembangunan holistik mahasiswa.
Katanya, peluang yang diperoleh ini sangat berharga kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut, dan beliau berazam untuk memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama UPSI di peringkat nasional.
Majlis penganugerahan ATSN 2025 dijadualkan berlangsung pada 1 Oktober ini di Hotel Marriot Putrajaya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)


