
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti keagamaan.
Ahli Parlimen berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan terbabit sewaktu berkunjung ke negeri Terengganu pada baru-baru ini.
Anwar tegaskan tiada pihak yang terkecuali jika bangkitkan isu 3R
Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Ahli Parlimen tersebut. Kata Anwar, tidak ada pihak yang terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu yang berkaitan dengan 3R iaitu:
- Agama
- Kaum
- Institusi diraja
PM akui tak setuju dengan kenyataan dikeluarkan MP terbabit, serahkan pada PDRM buat keputusan
Ujar Perdana Menteri lagi, beliau turut tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen berkenaan yang telah mempersoalkan berhubung penutupan premis perniagaan untuk memberi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Perdana Menteri turut menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Kenyataan ahli parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.
“Walaupun kini dah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan. Apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Anwar menjawab soalan tambahan yang diberikan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berhubung tindakan ke atas Ahli Parlimen berkenaan.
Ahli Parlimen DAP jadi perhatian didakwa mempersoalkan tentang penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat
Sebelum ini seorang Ahli Parlimen DAP, Khoo Poay Tiong telah menjadi perhatian ramai apabila mempersoalkan mengenai penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu sewaktu solat Jumaat.
Perkara itu kemudiannya mendapat kritikan ramai sebelum Ahli Parlimen Kota Melaka berkenaan tampil membuat penjelasan atas kenyataan yang dikeluarkannya.
Isu sebenar dibangkitkan tentang penguatkuasaan melalui surat rasmi MBKT arah semua premis ditutup, termasuk premis bukan Islam
Ahli Parlimen itu menjelaskan bahawa dia menghormati solat Jumaat serta amalan di Terengganu yang sudah lama diamalkan.
“Itu bukan isu yang saya bangkitkan. Isu yang saya bangkitkan mengenai penguatkuasaan menyeluruh melalui surat rasmi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mengarahkan ‘SEMUA’ premis perniaagan ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, termasuk premis bukan Islam, dengan ancaman denda RM2,000 penjara atau pembatalan lesen perniagaan.
“Persoalan saya mudah: adakah wajar sekiranya penguatkuasaan sedemikian dilaksanakan di negeri Melaka oleh kerajaan gabungan Barisan Nasional – Perikatan Nasional (BN-PN)? Jika dilaksanakan, bagaimana pula nasib perniagaan yang dijalankan oleh pelbagai kaum di Melaka?” soalnya di Facebook.
Tak berniat sentuh atau perlekeh amalan mana-mana pihak
Dalam kenyataan penjelasan itu, Ahli Parlimen berkenaan mengatakan dia tidak berniat untuk menyentuh sentiviti mahupun memperlekehkan amalan agama mana-mana pihak.
Sebaliknya, dia hanya membangkitkan persoalan berhubung dasar dan penguatkuasaan yang turut memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam.
Namun pada 2024 kerajaan Terengganu sudah pun mengesahkan yang penutupan premis perniagaan selama dua jam pada waktu solat Jumaat tidak membabitkan premis perniagaan bukan Islam.
Perkara itu turut dijelaskan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu kepada media bagi mengurangkan kegelisahan orang ramai.
Ahli Parlimen DAP tampil mohon maaf
Selepas teruk diasak, Khoo pada 21 November Ahli Parlimen yang juga Pengerusi DAP Melaka tampil membuat permohonan maaf berhubung hantaran sebelum ini.
Malah dia mengakui bahawa ada kelemahan dalam caranya menyampaikan pandangan berkenaan.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka berhubung hantaran saya sebelum ini mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu pada setiap hari Jumaat.
“Saya mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam cara saya menyampaikan pandangan tersebut. Pemilihan kata-kata dan nada hantaran berkenaan telah menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, khusunya umat Islam.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka. Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkcilkan kepentingan ibadah tersebut,” ujarnya.
Akui dirinya perlu lebih berhati-hati, bertanggungjawan dan sensitif dalam berikan pandangan
Bahkan Ahli Parlimen terbabit turut bersetuju dia perlu lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif dalam menyampaikan pandangan, khususnya apabila membabitkna isu agama dan juga sentiviti masyarakat majmuk.
“Saya menerima tegursan dan kritikan yang telah diberikan dengan hati terbuka. Saya juga mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut.
“Sekali lagi, saya dengan tulis ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya. Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan. Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan.”






