Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi pengalamannya menyertai pertandingan IRONMAN Langkawi meskipun mengakui tidak mempunyai persediaan latihan yang mencukupi selepas mendirikan rumah tangga.
Menerusi video yang dikongsikan di Threads, Syed Saddiq turut mendedahkan beberapa cabaran yang dihadapinya sepanjang perlumbaan, termasuk disengat obor-obor, cuaca panas dan mengalami kekejangan otot
AdvertisementView on Threads
Sasar Tamatkan IRONMAN Bawah 12 Jam Demi Tuisyen Percuma RM200,000
Bukan sekadar menguji kemampuan fizikal, penyertaan Syed Saddiq dalam pertandingan tersebut turut membawa misi untuk mendapatkan tajaan tuisyen percuma bernilai RM200,000 buat anak-anak Muar.
Syed Saddiq pada awalnya menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan dalam tempoh kurang daripada 12 jam.
Bagaimanapun, dia mengakui kesibukan serta kekangan masa selepas mendirikan rumah tangga menyebabkan persediaannya kali ini kurang mencukupi.
“Baru lepas kahwin, training pun tak cukup”
Bangga Lihat Perkembangan Ayden Dan Ara
Selain berkongsi mengenai perlumbaannya, Syed Saddiq turut memperlihatkan momen bersama Ayden dan Ara yang menyertai acara IRONKIDS Langkawi.
Dia meluahkan rasa bangga melihat perkembangan kedua-duanya, malah berpeluang berlari bersama Ara dalam acara tersebut.
“They both improve so much Daddy sangat bangga”
“Siap dapatlah lari sebelah Ara”
Syed Saddiq turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu kenangan istimewa yang sukar dilupakan.
Dalam pada itu, dia turut menghargai peranan isterinya dalam mendidik Ayden dan Ara.
Disengat Obor-Obor, Berdepan Cuaca Panas Cecah 34 Darjah Celsius
Mengulas mengenai cabaran sepanjang pertandingan, Syed Saddiq mendedahkan bahagian lehernya disengat obor-obor ketika mengharungi acara renang sejauh 3.8 kilometer.
“Masa awal-awal berenang leher kena sengat obor-obor”
Namun begitu, dia masih berjaya mencatatkan prestasi renang terpantasnya di Langkawi.
Cabaran semakin mencabar apabila Syed Saddiq terpaksa mengharungi acara berbasikal dalam keadaan cuaca panas yang mencecah 34 darjah Celsius.
Malah, kakinya mula mengalami kekejangan ketika berbaki 30 kilometer terakhir acara berbasikal.
Akui Kurang Latihan & Terlalu Yakin Dengan Kemampuan Diri
Syed Saddiq secara terbuka mengakui kesilapan dirinya yang kurang menjalani latihan, selain terlalu bergantung kepada tahap kecergasan terdahulu.
Menurutnya, kali terakhir dia menjalani latihan berbasikal di luar adalah kira-kira empat bulan sebelum pertandingan tersebut.
“Ini semua salah saya yang under train dan overconfident sangat harap fitness lama memanglah tak cukup”
Syed Saddiq turut menyifatkan prestasi lariannya kali ini sebagai catatan peribadi terburuk, bukannya catatan terbaik.
Ketika mengharungi acara larian sejauh 42 kilometer, dia terpaksa berselang-seli antara berjalan dan berlari susulan masalah kekejangan otot yang dialaminya.
Tamatkan Perlumbaan Dalam 12 Jam 48 Minit, Muar Tetap Dapat Tuisyen Percuma
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Syed Saddiq akhirnya berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 12 jam 48 minit 38 saat sambil membawa Jalur Gemilang ketika melintasi garisan penamat.
Bagaimanapun, dia pada mulanya menyangka peluang untuk mendapatkan tajaan tuisyen percuma tersebut terlepas selepas gagal mencapai sasaran bawah 12 jam.
“Saya ingat terlepas dah tuisyen tu”
Namun, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa tajaan tersebut tetap diteruskan.
“the deal is still on alhamdulillah”
“Anak-anak Muar tetap dapat tuisyen percuma bernilai RM200,000”
Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada PTTI atas tajaan berkenaan serta KITSUI yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Mengakhiri perkongsian tersebut, Syed Saddiq turut menyatakan hasrat untuk kembali menyertai IRONMAN Langkawi pada masa akan datang.

“Keadaan Masih Panas” – Shafiq Shaheen Akui Sukar Berbincang Dengan Syida Melvin, Harap Konflik Selesai
The post Syed Saddiq Kongsi Pengalaman Sertai IRONMAN Langkawi, Akui Tak Cukup Latihan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






