
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau masih belum menerima peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meskipun pemimpin DAP itu sudah mengemukakan surat berhubung perkara berkenaan.
Menurut Anwar, beliau berhasrat mengadakan rundingan semula mengenai peletakan jawatan tersebut, selain memaklumkan Anthony Loke mahu mengambil cuti buat sementara waktu.
“Saudara Anthony Loke memang tulis surat kepada saya letak jawatan. Tapi saya sebagai Perdana Menteri belum terima peletakan jawatan dia.
“Jadi dia nak cuti sekejap, okey. Tapi peletakan jawatan kita akan runding semula. Setuju tak?” katanya Ketika berucap pada program Grand Finale: Jelajah Harapan, Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka.
Anwar turut mempertahankan Anthony Loke yang disifatkannya sebagai seorang menteri amanah, bersih dan bekerja keras dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berkata, Menteri Pengangkutan itu juga banyak mengemukakan cadangan, projek serta program bagi memudahkan urusan rakyat, termasuk golongan pemandu teksi.
“Kita lantik menteri, menteri itu amanah, bersih. Menteri itu kerja kuat. Menteri itu bagi banyak cadangan, projek, program untuk memudahkan perjalanan rakyat dan juga pemandu-pemandu teksi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyindir pihak yang mempertikaikan pujiannya terhadap Anthony Loke, termasuk mereka yang mengaitkan penghargaan tersebut dengan latar belakang kaum.
“Bila saya puji dia, orang UMNO ni kata apa Anwar ni puji dia, puji Cina.
“Jadi sebab itu saya kata orang macam ini yang baik, dia orang suruh berhenti. Yang teruk dia suruh kekal. Ini dunia ni sudah terbalik,” katanya.
The post Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke, mahu runding semula appeared first on The Reporter.





