
PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) ada meminta kerajaan menangguhkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan institusi itu ketika ia siap, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permintaan itu dibuat pengurusan TH kerana bimbang pendedahan laporan berkenaan akan menyebabkan pendeposit mengeluarkan wang secara besar-besaran sehingga menjejaskan operasi institusi berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu kemudiannya dibawa ke Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat untuk menangguhkan pendedahan laporan RCI tersebut.
“Tabung Haji minta tolong jangan hebahkan sekarang. Kalau kita heboh sekarang, masalah tak ada penyelesaian, orang akan lari, Tabung Haji akan lumpuh. Itu dicadangkan oleh board (Lembaga Pengarah).
“Saya minta Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) datang ke Kabinet dan minta beritahu sendiri kepada ahli Jemaah Menteri. Jadi keputusan nak hebahkan laporan RCI bukan keputusan saya, tetapi Jemaah Menteri,” katanya dalam satu podcast, di sini, hari ini.
Katanya, selepas mendapat persetujuan ahli Jemaah Menteri, beliau bertanyakan bila laporan berkenaan perlu didedahkan sebelum mereka bersetuju supaya ia dibuat segera dengan syarat boleh dibahaskan di Parlimen.
“Saya cadangkan, tapi dalam Jemaah Menteri saya tanya satu-satu. Saya tanya Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri, macam mana?
“Setuju…setuju dan saya tanyakan bila, (mereka jawab) segera. Tapi dengan syarat ia boleh dibahas di Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun katanya, apabila laporan RCI itu dibentangkan di Parlimen, Ahli Parlimen PAS keluar dari Dewan Rakyat dan enggan mendengar perbahasan. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar dedah TH minta laporan RCI ditangguh appeared first on Kosmo Online.






