
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendedahan laporan RCI Tabung Haji dibuat demi kepentingan negara dan bukannya atas motif politik.
KUALA LUMPUR: Keputusan membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen membabitkan anggaran kerugian RM12.5 bilion dibuat atas pertimbangan dasar serta kepentingan bangsa dan negara, bukannya dipengaruhi motif politik mahupun isu pilihan raya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata keputusan mendedahkan skandal penyelewengan institusi itu dibuat secara bersama oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira kesediaan pihak TH sendiri.
Beliau berkata pembentangan laporan berkenaan sebelum ini ditangguhkan atas permintaan pengurusan TH bagi memberi ruang kepada penstrukturan semula perniagaan dan pelan penyelesaian bagi memulihkan kedudukan kewangannya.
“Tabung Haji minta tolong jangan hebahkan sekarang (pada waktu itu). Kalau kita hebah sekarang, masalah, tak ada penyelesaian, orang akan lari (dan) Tabung Haji akan lumpuh. Itu dicadangkan oleh Lembaga Tabung Haji,” kata beliau dalam audio siar “SembangOhhYeahh” bertajuk “Eps Khas: Siapa Sebenarnya Anwar Ibrahim, Di Sebalik Gelaran PMX?” yang disiarkan menerusi YouTube hari ini.
Anwar berkata Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain sendiri pernah hadir ke mesyuarat Kabinet untuk memberi penjelasan berhubung situasi kewangan dan cadangan penyelesaian sebelum laporan tersebut dibentangkan.
Perdana Menteri turut menolak dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan tindakan membentangkan laporan RCI TH itu dengan jadual Pilihan Raya Negeri mahupun Pilihan Raya Umum.
Beliau berkata memandangkan proses pilihan raya di negeri berlangsung secara berturut-turut, penangguhan laporan atas alasan politik adalah tidak wajar kerana negara memerlukan keputusan dan tindakan tegas demi mengembalikan integriti institusi berkenaan.
Anwar berkata impak kerugian TH amat berat kerana ia menjejaskan dana yang sepatutnya memberi manfaat kepada jutaan pendeposit termasuk jemaah haji, petani, nelayan serta generasi muda.
Beliau berkata pembentangan Laporan RCI TH di Parlimen adalah langkah telus bagi membolehkan isu berkenaan dibahas secara terbuka, selain bersedia jika ada pihak mahu siasatan diperluas ke atas tempoh pentadbiran kerajaan pimpinannya.
“(Ada cadangan) jangan berhenti setakat 2020 sebab orang tanya juga apa yang berlaku semasa saya Perdana Menteri. Saya kata silakan (kerana) kita kalau tak curi wang, kita tak takut. Siasatlah banyak mana pun,” kata beliau.
— LAGI
ANWAR-AUDIO SIAR (RCI TH) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Perdana Menteri berkata beliau juga tidak akan campur tangan dalam urusan pendakwaan atau penentuan hukuman, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala keputusan kes ditentukan oleh badan kehakiman.
Anwar berkata beliau sendiri memahami keperitan ditindas dan tidak akan membiarkan sebarang proses perundangan di bawah pentadbiran beliau diguna pakai untuk menzalimi mana-mana pihak.
Sementara itu, mengenai teguran dan pandangan masyarakat awam terhadap pentadbirannya, Perdana Menteri berkata beliau sentiasa terbuka untuk menerima kritikan demi membaiki kelemahan kerajaan.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat terus menyokong usaha membanteras amalan rasuah dan perpecahan, selain memanfaatkan potensi besar Malaysia di peringkat antarabangsa.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Satu sidang khas Dewan Rakyat telah diadakan pada 11 Ogos lepas bagi membahaskan laporan berkenaan.






