Anwar dijadual bertemu Perdana Menteri Ethiopia hari ini

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 11:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar dijadual bertemu Perdana Menteri Ethiopia hari ini

NEW DELHI: Kerjasama Malaysia dan Ethiopia dijangka diperkukuh melalui pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18, di New Delhi.

Pertemuan itu diadakan ketika kerajaan berusaha meluaskan jangkauan ekonomi dan diplomatik negara ke pasaran yang sedang pesat membangun.

Tahun lalu, ketika lawatannya ke Ethiopia, Anwar berkata, Malaysia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada negara Afrika itu, khususnya dalam bidang hubungan di antara agama dan semangat perpaduan.

Anwar ialah Perdana Menteri Malaysia pertama yang melawat Ethiopia dalam tempoh perjawatan sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1965, sekali gus mencerminkan usaha menghidupkan semula hubungan dua hala yang agak terhad sebelum ini.

Malaysia kemudiannya membuka semula kedutaan di Addis Ababa pada September 2025, sekali gus memulihkan hubungan diplomatik yang ditutup pada 1983 susulan pergolakan politik di Ethiopia.

Hubungan yang kembali diperkukuh ini berlaku ketika Malaysia berusaha menggunakan kerjasama BRICS untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan melangkaui pasaran tradisional, manakala Ethiopia pula menawarkan akses kepada satu ekonomi terbesar di Afrika serta pasaran yang mempunyai lebih 100 juta penduduk.

Pertemuan Anwar dengan Abiy akan menjadi antara siri pertemuan dua hala peringkat tinggi sepanjang lawatan beliau ke New Delhi.

Beliau turut dijadualkan bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Chargé d’affaires Malaysia, Sharifah Ezneeda Wafa, memberitahu pertemuan itu sudah disahkan menjelang ketibaan Anwar, hari ini.

“Mungkin ada lagi pertemuan sekiranya kedua-dua pihak dapat bersetuju mengenai masa yang sesuai,” katanya.

Sharifah Ezneeda berkata, Anwar juga akan bertemu dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr Ngozi Okonjo-Iweala, manakala perbincangan dengan tokoh-tokoh utama perniagaan India turut dirancang.

Difahamkan beberapa tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, termasuk Tan Sri Ravindran Menon, dijangka berada di New Delhi bersempena Sidang Kemuncak BRICS, sekali gus mencerminkan peningkatan minat sektor swasta terhadap pembabitan Malaysia dalam kumpulan itu.

Kehadiran pemimpin perniagaan Malaysia membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk membina hubungan dengan rakan niaga dari India dan negara antarabangsa lain, ketika Malaysia berusaha menterjemah kerjasama BRICS kepada peluang perdagangan, pelaburan dan komersial yang lebih besar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Sidang kemuncak itu membawa tema “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan” dengan perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada daya tahan ekonomi, kerjasama serta pembaharuan terhadap rangka kerja perdagangan dan pelaburan.

BRICS ialah forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara-negara Global Selatan.

Ia pada asalnya dibentuk oleh Brazil, Rusia, India dan China sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011.

Kumpulan itu berkembang pada 2023 dengan kemasukan Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diikuti Indonesia pada 2024.

Malaysia, Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan antara negara yang diterima sebagai negara rakan BRICS.

India mengambil alih kepengerusian BRICS buat kali keempat pada 1 Januari 2026, selepas sebelum ini memegang jawatan pengerusi secara bergilir pada 2012, 2016 dan 2021.

Tahun ini turut menandakan 20 tahun penubuhan BRICS, sekali gus memberikan kepengerusian India lebih signifikan ketika negara-negara anggota berusaha memperkukuh peranan kumpulan itu dalam urusan ekonomi dan politik global.

The post Anwar dijadual bertemu Perdana Menteri Ethiopia hari ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved