Anwar dijangka umum calon PKR hujung minggu ini

LocalPolitics
4 Nov 2025 • 4:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat lawatan ke Sabah hujung minggu ini untuk mengumumkan senarai calon gabungan itu bagi pilihan raya umum Sabah ke-17.

Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya dimaklumkan bahawa jadual lawatan Anwar ke Sabah turut merangkumi beberapa program termasuk pengumuman calon.

“Ya, kami baru terima maklumat. Dalam jadual beliau, ada acara pengumuman calon. Beliau akan berada di sini pada 9 November, malah seawal 8 November lagi.

“Pada 9 Nov, kami akan menghadiri mesyuarat kepimpinan pusat di Sabah dan pada sebelah petang akan diumumkan calon,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Harapan Urang Sabah bagi Inanam di sebuah restoran, di sini.

Ketika ditanya sama ada pengumuman itu turut membabitkan parti komponen PH lain seperti DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Mustapha berkata semua parti komponen kekal utuh dan akan menyelaras kehadiran masing-masing.

Beliau berkata spekulasi bahawa Upko dan DAP akan bertanding menggunakan logo masing-masing telah dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat.

“Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan lanjut daripada mana-mana parti itu berhubung perkara itu,” katanya.

Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, menolak dakwaan kononnya Upko diketepikan dalam rundingan kerusi gabungan berkenaan.

“Di peringkat PH Sabah, kami telah berbincang mengenai kerusi yang ingin ditandingi dan ketua perunding kami akan berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN).

“Datuk Ewon Benedick (Presiden Upko) ialah ketua dan penyelaras PH Sabah, dan setiap kali beliau memanggil mesyuarat, semua parti komponen akan hadir,” katanya.

Mengenai kemungkinan pertembungan antara GRS dan PH, Mustapha berkata PKR telah menasihatkan Upko supaya mengelak pertindihan calon dengan GRS.

“Namun keputusan akhir tetap bergantung kepada Upko sama ada mahu meneruskan hasrat bertanding, kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan hubungan antara parti gabungan.

“Bagi PKR, kami menghormati dan mematuhi hasil perbincangan antara rakan-rakan komponen. Terdapat peraturan penyandang (rule of incumbency) dalam pemilihan calon kami,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam Datuk Peto Galim.