
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan 11 murid asnaf cemerlang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Singgah Manis di Kinabatangan, Sabah bersama-sama tujuh guru mereka di Kompleks Seri Perdana.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau kagum dengan kegigihan murid dan guru sekolah itu yang berjaya mencatat pelbagai kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa meskipun berasal dari sebuah sekolah di pedalaman.
“Saya titipkan pesan kepada anak-anak ini agar terus tekun menimba ilmu dan berani mengejar cita-cita. Apabila berjaya kelak, ingatlah untuk membantu ibu bapa dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya dalam hantaran itu.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru sekolah itu atas komitmen mendidik, membimbing dan memupuk keyakinan murid untuk melangkah lebih jauh.
“Kejayaan anak-anak SK Singgah Manis menguatkan tekad kita untuk memastikan setiap anak, walau sejauh manapun mereka tinggal, mendapat peluang yang saksama untuk belajar, mengembangkan bakat dan mencapai cita-cita,” kata beliau. – BERNAMA
The post Anwar dikunjungi 11 anak ’emas’ Sabah appeared first on Kosmo Online.






