Anwar galakkan murid baca dua buku sepanjang cuti sekolah

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anwar galakkan murid baca dua buku sepanjang cuti sekolah

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan semua murid membaca sekurang-kurangnya dua judul buku sepanjang cuti sekolah bagi menyemai budaya membaca dan meningkatkan penguasaan ilmu dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, amalan membaca perlu terus dipupuk dan tidak seharusnya diketepikan meskipun perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin pesat.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan semua guru, pengetua dan guru besar mengingatkan murid supaya membaca buku yang ditetapkan sepanjang tempoh cuti persekolahan.

“Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri, Ketua Pengarah Pendidikan berikan peringatan kepada semua guru dan pengetua dan guru besar pastikan ada kalau cuti dua bulan atau satu bulan setengah, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara: “AI TEMU AI” di sini hari ini.

Anwar turut mengajak ibu bapa memantau anak masing-masing bagi memastikan janji membaca dua buku sepanjang cuti sekolah itu ditunaikan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penggunaan AI dalam pendidikan tidak bermaksud amalan pembelajaran konvensional seperti membaca dan mengira akan diketepikan.

Sebaliknya, katanya, pendedahan awal kepada teknologi berkenaan penting supaya murid tidak berasa janggal apabila berhadapan dengan perkembangan teknologi baharu.

Beliau turut mengingatkan Kementerian Pendidikan dan guru supaya memastikan teknologi AI dimanfaatkan untuk membentuk manusia, bukan sekadar melahirkan generasi yang mahir menggunakan mesin.

“Tetapi kementerian, para guru harus diperingatkan, sentiasa ingatkan supaya kita ini menggunakan teknologi canggih AI, ilmu ini untuk mendidik manusia, bukan mendidik mesin.

“Ada bezanya. Bukan mesin, tetapi manusia. Yang manusia ini ada akhlaknya, ada agamanya, ada budayanya, ada sopan santunnya,” katanya. – UTUSAN

The post Anwar galakkan murid baca dua buku sepanjang cuti sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved