Anwar: Jenayah tidak boleh dipandang ringan, tindak tegas

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 5:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Anwar: Jenayah tidak boleh dipandang ringan, tindak tegas

Anwar: kerajaan menyokong tindakan tegas pasukan keselamatan terhadap penjenayah berdasarkan undang-undang sedia ada susulan insiden anggota polis ditetak.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyokong tindakan tegas pasukan keselamatan terhadap penjenayah berlandaskan undang-undang sedia ada, susulan insiden seorang anggota polis ditetak hingga putus pergelangan tangan ketika menjalankan tugas di Kepong, Rabu lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata insiden itu turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dengan penegasan bahawa jenayah tidak boleh dipandang ringan dan tindakan terhadap penjenayah perlu diambil tanpa kompromi.

“Saya mendapat khabar tentang anggota polis yang ditetak. Jadi saya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tadi menyatakan bahawa kita beri sokongan kepada jentera dan pasukan keselamatan kita, supaya tegas, tidak boleh bertolak ansur dengan jenayah serta jangan dianggap hal ini mudah.

“Ya, ada peraturan dan undang-undang sedia ada yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh anggota polis serta pasukan keselamatan amnya,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, di sini hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang, di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas kejayaan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis yang ditetak itu.

Anwar berkata kejayaan itu secara tidak langsung membuktikan tahap kepakaran dan kemampuan petugas kesihatan negara dalam melaksanakan prosedur perubatan yang mencabar.

“Saya ucap tahniah kepada seluruh pasukan HKL atas kejayaan melaksanakan satu pembedahan kompleks yang memerlukan kepakaran luar biasa.

“Jadi, saya ucap tahniah kepada mereka dan doakan mudah-mudahan pekerjaan itu (penyambungan pergelangan tangan) dan hasilnya akan baik, Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain, atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam, yang menurutnya menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan tersebut.

Dzulkefly turut mengucapkan syabas kepada pasukan Neurosurgeri HKL, yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala Lans Koperal Thierry Rodger Fendy.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved