Polis diarah bertindak tegas terhadap penjenayah

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Laporan Felda

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan supaya bertindak tegas dalam menangani jenayah dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang khususnya membabitkan warga asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disentuh dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan insiden kemalangan membabitkan anggota polis yang ditetak sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan memberi sokongan penuh kepada anggota pasukan keselamatan negara yang melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.

“Pertamanya, saya mendapat khabar tentang kemalangan anggota polis yang ditetak. Jadi saya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tadi menyatakan bahawa kita bagi sokongan kepada jentera dan pasukan keselamatan kita, supaya tegas kita tidak boleh tolak ansur dengan jenayah dan tegas jangan dianggap hal ini mudah.

“Ya, ada peraturan yang dan undang-undang sedia ada yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh anggota polis serta pasukan keselamatan amnya,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Brickfields hari ini.

Kelmarin seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang diketuai oleh Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain atas kejayaan menyambung semula tangan anggota polis yang ditetak sebelum ini.

Beliau berkata, kejayaan itu secara tidak langsung membuktikan tahap kepakaran serta kemampuan petugas kesihatan negara dalam melaksanakan prosedur perubatan yang mencabar.

“Jadi kepada seluruh anggota di HKL, saya ucap tahniah kerana dapat menghubungkan balik dengan satu pembedahan yang agak kompleks dan memerlukan kepakaran yang luar biasa.

“Saya ucap tahniah kepada mereka dan doakan mudah-mudahan pekerjaan itu dan hasilnya akan baik, insya-Allah,” jelasnya. – UTUSAN

The post Polis diarah bertindak tegas terhadap penjenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved