Anwar Mohon Maaf Dengan Kekurangan TuJu, Tak Tolak Kemungkinan Waze Akan Diharamkan Sepenuhnya

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 4:13 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Anwar Mohon Maaf Dengan Kekurangan TuJu, Tak Tolak Kemungkinan Waze Akan Diharamkan Sepenuhnya

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Isu mengenai aplikasi navigasi TuJu bagi menggantikan Waze masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Apatah lagi, semalam (22 Oktober), Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi alternatif itu sebagai satu perkara yang memalukan negara.

Ini kerana dia mendakwa menerima aduan dari pengguna mengenai ketidakberkesanan serta kelemahan aplikasi terbabit.

Malah, ramai yang turut tidak berpuas hati dengan prestasi aplikasi tersebut dalam menggantikan Waze.

Baca Artikel Berkaitan: “PM Telah Diberikan Nasihat Yang Salah” – Lim Guan Eng Sifatkan Aplikasi TuJu Memalukan Negara

Anwar Mohon Maaf, Akui Aplikasi TuJu Ada Kekurangan

Terbaharu, Anwar memohon maaf kepada orang ramai yang berhadapan dengan masalah ketika menggunakan aplikasi TuJu.

Jelasnya, keadaan itu berpunca akibat kelewatan syarikat untuk memperkemas aplikasi terbabit.

“Saya dapat pengakuan daripada Lembaga Lebuhraya (LLM), menyatakan TuJu ada kekurangan kerana aplikasi ini tidak lengkap.

“Betullah TuJu tu ada kekurangan tetapi buat sementara waktu, saya tidak mengerti kalau hal ini jadi kontroversi.

“Kontroversinya kerana lembabnya alternatif. Saya setuju, tetapi keputusan kita bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara. Aneh kalau orang masih menekan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Keselamatan Negara Lebih Penting, Cadang Guna Aplikasi Lain

Mengulas kritikan yang diterima dari pelbagai pihak, Anwar menjelaskan dia memahami kesulitan yang dihadapi oleh pengguna aplikasi itu namun keselamatan negara menjadi keutamaannya.

“Walaupun saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh. Saya kata tak apalah, kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf. Tetapi bagi saya, keselamatan negara lebih penting.

“Walaupun saya tahu TuJu itu ada kelemahan. Gunalah yang lain-lain tetapi sabarlah kejap carilah jalan, jauh sikit tidak apalah. Daripada serah maklumat kepada Israel,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Tak Tolak Kemungkinan Akan Haramkan Sepenuhnya Penggunaan Waze

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak menolak kemungkinan bahawa Kerajaan Malaysia akan mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi Waze jika alternatif aplikasi navigasi tempatan mempunyai keupayaan yang mencukupi.

Namun jelas beliau, cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Tambahnya lagi, kerajaan memahami kontroversi yang timbul ekoran pengumuman larangan penggunaan Waze khususnya mengenai kelemahan alternatif navigasi tempatan yang tersedia pada ketika ini.

“Itu kita kena study (kaji) apa alternatifnya. Kalau sudah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik maka kita mungkin menentukan kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali.

“Kontroversinya kerana lembabnya alternatif. Saya setuju tetapi keputusan kita bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara,” katanya.

Kerajaan Tak Kompromi Soal Keselamatan Data

Tegas Anwar lagi, tindakan terhadap Waze dibuat selepas kesemua maklumat mengenai lokasi ibu pejabat serta perjanjian penggunaan aplikasi itu disemak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh beliau baru-baru ini.

Jelasnya, hasil semakan mendapati ibu pejabat aplikasi tersebut berpangkalan di Israel manakala perjanjian penggunaan adalah tertakluk kepada undang-undang di negara itu.

“Sebab kalau sudah gunakan Waze, maknanya secara automatik menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi kita jangan buat silap itu.

“Itu yang menyebabkan mengapa saya ambil tindakan yang agak spontan. Saya kata hendak tangguh satu hari pun tak boleh,” katanya.

Tegasnya lagi, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu melibatkan keselamatan negara hanya kerana alternatif tempatan masih belum mempunyai kemudahan yang lengkap.

Jelas Anwar, pengguna boleh menggunakan aplikasi lain yang berpangkalan di Malaysia sementara penambahbaikan dibuat meskipun tidak secanggih Waze.

“Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat kerahsiaan negeri, peribadi saudara dan negara kepada Israel. Itu yang penting difahami,” ujarnya.

Mengulas mengenai gesaan DAP agar keputusan larangan penggunaan Waze disemak semula, Anwar mendedahkan perkara itu telah dijelaskan olehnya dalam mesyuarat berkenaan yang turut dihadiri oleh pimpinan parti itu iaitu Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook di mana kedua-duanya bersetuju dengan pendirian berkenaan.

“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soal dia. Kalau nak serah maklumat kerajaan, saya tak benarkan sama sekali,” jelasnya.

Sebelum ini, Anwar menggalakkan rakyat untuk menggunakan aplikasi navigasi TuJu bagi menggantikan Waze.

Pengumuman itu merupakan cadangan alternatif ekoran risiko keselamatan maklumat serta data pergerakan rakyat dek kerana aplikasi terbabit terikat dengan undang-undang kerajaan Israel.

Malah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat edaran bertarikh 20 Oktober turut mengeluarkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam berkuat kuasa serta merta.

Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia, setakat ini belum ada alternatif terbaik bagi menggantikan Waze disebabkan ciri-cirinya.

Baca Artikel Berkaitan: Berkuat-Kuasa Serta Merta, Penjawat Awam Dilarang Guna Aplikasi Navigasi Waze

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Kecewa Dengan Aplikasi TuJu, LLM Sedang Laksanakan Penambah Baikan

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved