
PUTRAJAYA- Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menghiraukan gesaan UMNO bagi memohon pembubaran Dewan Rakyat dalam masa terdekat dilihat sebagai satu tindakan bijak dan matang.
Menurut pengamal undang-undang, Dr. Zulqarnain Lukman, penggal Dewan Rakyat masih lagi mempunyai masa lebih setahun sebelum terbubar secara automatik pada bulan November 2027.
Ini bermakna, katanya, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh berlangsung selewat-lewatnya Februari 2028.
“Dalam tempoh berbaki ini adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan seperti penggubalan akta mengehadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.
“Selain itu, adalah mustahak juga bagi Anwar membetulkan tatakelola di agensi berkaitan kerajaan seperti Tabung Haji dan Felda selain mengembalikan institusi itu ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Dalam pada itu, Zulqarnain berkata, pindaan kepada Akta Tabung Haji dan Felda juga perlu dibuat dalam usaha kerajaan memperbetulkan tatakelola.
“Jika Dewan Rakyat dibubarkan sekarang dikhuatiri mana- mana Perdana Menteri lain tidak mempunyai keberanian seperti Anwar untuk melaksanakan reformasi tersebut,” katanya.
Meskipun begitu, katanya, dalam tempoh berbaki ini turut memberikan peluang kepada Anwar untuk mengembalikan keyakinan kepada semua rakyat bahawa beliau sudah berbuat sehabis baik untuk kebaikan rakyat.
“Dalam pada itu, adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyemak kembali sistem komunikasi kerajaan supaya segala pencapaian kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar pamer politik matang, tidak layan desakan UMNO appeared first on Kosmo Online.






