Beri kerajaan lebih masa laksana reformasi – Anwar

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Beri kerajaan lebih masa laksana reformasi – Anwar

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu memberikan lebih masa kepada kerajaan untuk melaksanakan reformasi dalam usaha menyelamatkan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mempercepatkan reformasi berisiko mencetuskan tentangan politik lebih besar daripada golongan berkepentingan yang mahu mengekalkan status quo.

Beliau pada masa sama mengakui kekurangan diri ketika pencapaian pentadbirannya dianggap belum memenuhi
jangkaan sesetengah pihak, namun Kabinet tetap meneruskan reformasi meskipun berdepan keadaan sukar.

“Pertama, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya memohon maaf jika itu tidak memuaskan hati mereka yang merasakan usaha ini perlu dipercepatkan. Tetapi anda mesti faham, mempercepatkan tindakan juga mengundang permusuhan seperti yang berlaku sekarang.

“Ada orang yang tidak mahu sebarang tindakan, tidak mahu sebarang pendedahan dan tidak mahu perkataan ‘sakau’ digunakan. Mereka masih ada,” katanya dalam audio siar SembangOhhYeahh yang disiarkan hari ini.

Anwar turut menghargai kepercayaan yang diberikan rakyat kepada pentadbirannya dan menegaskan bahawa kedudukan serta potensi masa depan Malaysia perlu dipelihara.

“Seperti yang saya katakan, Perdana Menteri silih berganti dan saya sedar akan hal itu. Tetapi negara mesti diselamatkan,” katanya.

Menurut beliau, semangat yang ditunjukkan anak muda ketika sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini mencerminkan sikap optimis dan keyakinan mereka terhadap masa depan negara.

“Malaysia mempunyai potensi luar biasa. Golongan muda, sama ada di universiti atau yang bekerja dalam perkhidmatan awam, memperlihatkan kesedaran dan minat mereka.

“Lihat sahaja cara mereka meraikan Hari Kemerdekaan kita. Dengan penuh semangat, dengan harapan yang sangat tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia mesti meneruskan kemajuan yang dicapai dan bukannya kembali kepada amalan serta sikap yang boleh menjejaskan kekuatan negara.

“Jangan berpatah balik, menoleh ke belakang dan mundur semula. Negara ini mesti maju ke hadapan dan pada tahap yang kita capai sekarang, kita dihormati di rantau ini dan di dunia. Jangan sia-siakan peluang ini.

“Jangan biarkan kita kembali kepada amalan dan budaya membenci orang lain, membenci kaum serta lebih rela menerima rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Negara ini mempunyai kekuatan. Jangan musnahkannya. Itulah harapan saya,” katanya.

Mengulas kritikan terhadap pentadbirannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tetap terbuka dan mengakui ada kekurangan yang boleh diperbaiki.

“Saya terbuka menerima kritikan dan saya sudah banyak dikritik. Saya ialah perdana menteri yang paling kerap turun ke universiti untuk berdialog dengan anak muda. Saya boleh memperbaiki apa sahaja yang saya anggap sebagai kekurangan dan kelemahan.

“Tetapi saya ingin merayu, jangan biarkan negara ini dikecewakan oleh kelompok yang kepentingannya boleh memusnahkan kekuatan kita sendiri,” katanya. – UTUSAN 

 

The post Beri kerajaan lebih masa laksana reformasi – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved