Anwar pantau secara serius operasi bawa pulang rakyat Malaysia dari Asia Barat

9 Mar 2026 • 5:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR -  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memantau secara serius operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari zon konflik di Timur Tengah setelah pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa setiap rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu.

"Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi membawa mereka pulang ini dipermudah, berjalan lancar, dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya dalam taklimat Pejabat Perdana Menteri, pada Isnin.

MKN dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, Kerajaan Malaysia kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan proses membawa pulang rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Timur Tengah susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau berkenaan.

Ketegangan di Timur Tengah meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, di ikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Menurut rekod Kementerian Luar, setakat 8 Mac, seramai 641 orang rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa negara terjejas di rantau itu manakala 24,568 rakyat Malaysia telah berdaftar menerusi sistem e-Konsular setakat 7 Mac. - Bernama