Anwar perlu lepaskan jawatan Menteri Kewangan - DAP Sarawak

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anwar perlu lepaskan jawatan Menteri Kewangan - DAP Sarawak
Tian Ren ketika membahaskan usul pada Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perwakilan DAP Sarawak menetapkan lima langkah reformasi daripada kerajaan sebagai kayu ukur bagi penyertaan berterusan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.

Soo Tien Ren berkata, tuntutan tersebut merangkumi keperluan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan portfolio Menteri Kewangan.

Menurutnya, peruntukan yang sama rata perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen termasuk parti pembangkang.

"Selain itu, pemansuhan Akta Hasutan 1948, penubuhan Ombudsman Malaysia, serta peluasan subsidi diesel kepada semua kenderaan komersial dengan mengembalikan kuota Budi95 kepada 300 liter.

"Ini bukanlah pembaharuan yang mustahil untuk dilaksanakan, sebahagian daripadanya merupakan janji yang telah kita perjuangkan yang mana ia hanya memerlukan kemahuan politik," katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Tien Ren berkata, DAP harus bersedia untuk berpisah dengan Anwar sekiranya kerajaan gagal melaksanakan pembaharuan tersebut.

"Lima reformasi yang kita tuntut itulah kad skor kita yang mana rakyat akan menilai setahun dari sekarang.

"Jika kita tidak mampu melaksanakan agenda reformasi ini, mungkin sudah tiba masanya kita mempunyai keberanian untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Anwar," katanya lagi.

Terdahulu, semua 14 pembahas dalam persidangan itu mahu DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal Parlimen ke-16.

Persidangan khas itu diadakan bagi membentangkan usul dalam menentukan sama ada parti berkenaan akan terus kekal atau menarik diri daripada blok pentadbiran.

Lebih 4,200 perwakilan DAP diberi tanggungjawab memutuskan nasib parti itu dalam kerajaan Persekutuan selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membawa usul berkenaan bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved