
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih jalan kompromi berbanding ‘bertempur’ antara parti bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara, sekali gus membolehkan ekonomi negara berkembang sehingga penggal Kerajaan Perpaduan berakhir.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat kerana sebarang pertembungan politik berisiko menjejaskan kestabilan negara dan memberi kesan langsung terhadap keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan berkenaan sememangnya mempunyai keterbatasan dari segi ruang kerajaan untuk melaksanakan sesetengah dasar, namun ia perlu diterima sebagai sebahagian daripada pertimbangan bagi memastikan politik dan ekonomi negara kekal stabil.
“Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi. Tapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam. Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah diambil. Itu di antara dua keputusan yang harus dibuat.
“Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis libat urus Belanjawan 2027, di sini hari ini.
Anwar berkata, pendekatan itu selari dengan pendirian kerajaan untuk memastikan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan terus kekal sehingga tamat penggal, dalam usaha memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan pengukuhan ekonomi negara.
Menurut Anwar, pelabur memerlukan keyakinan terhadap kestabilan sesebuah negara sebelum membuat keputusan pelaburan, selain mengambil kira kekuatan serta prospek ekonominya.
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh seterusnya memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi menangani keperluan rakyat.
“Kekuatan asas ekonomi ketika ini membolehkan kerajaan berada dalam kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan, namun setiap permintaan perlu dilihat dalam kerangka makro dan mengambil kira kekangan kewangan negara,” katanya.
Anwar berkata, dialog Belanjawan 2027 penting bagi membolehkan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk sektor perniagaan, perdagangan, dewan perniagaan dan institusi perbankan yang turut memainkan peranan dalam meningkatkan keyakinan serta keupayaan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, meskipun beberapa sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital menunjukkan perkembangan, masih terdapat sektor serta perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan cabaran dan memerlukan perhatian kerajaan. – UTUSAN
The post Anwar pilih kompromi, bukan ‘bertempur’ demi kestabilan politik dan ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.






