UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 11:55 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ahmad Maslan ketika bercakap mengenai pendirian UMNO menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal

UMNO akan terus mempertahankan sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negara, meskipun terdapat suara daripada akar umbi yang mahu parti itu menarik diri daripada kerajaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pendirian itu selari dengan ketetapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini berulang kali menegaskan sokongan parti akan dikekalkan sehingga akhir penggal.

Menurutnya, UMNO mempunyai kira-kira 30 kerusi Parlimen dan tindakan parti itu meninggalkan kerajaan berpotensi menjejaskan kestabilan sekiranya langkah sama turut diikuti wakil rakyat atau parti lain.

“Kalau kami keluar, kerajaan ini jatuh. Walaupun kami 30 kerusi, sekarang kerusi kerajaan 150. Kalau tolak 30, masih ada 120. Tetapi kalau kami keluar, mungkin ada orang lain lagi yang keluar, mungkin daripada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ahmad Maslan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga telah mempunyai perjanjian serta pendirian rasmi untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran. Beliau berharap rakan-rakan dalam PKR dapat memahami pendirian tersebut demi kepentingan kestabilan negara.

Baca juga:

Dalam perkembangan sama, Ahmad menolak dakwaan bahawa BN mengamalkan politik perkauman susulan kritikan terhadap parti berkenaan. Katanya, BN merupakan gabungan pelbagai parti dan kaum termasuk UMNO, MCA, MIC, PBB serta SUPP, selain beberapa parti lain menerusi Friends of BN.

Beliau berkata naratif yang melabel BN sebagai parti perkauman adalah tidak tepat dan jika terus diulang, ia dikhuatiri boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap gabungan berkenaan. Ahmad berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan Kerajaan Perpaduan kekal stabil supaya agenda kerajaan dapat diteruskan sehingga akhir penggal.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

The post UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved