Anwar Puji MCBA Rampas Kontena Disyaki Bawa Barangan Strategik Ke Israel

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 2:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) merampas sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, yang disyaki membawa barangan strategik untuk dieksport ke Israel.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan transit bagi perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada tindakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tahniah kepada MCBA atas tindakan pantas merampas sebuah kontena yang disyaki membawa barangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Tindakan ini menunjukkan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak menjadi saluran kepada perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Image from: Anwar Puji MCBA Rampas Kontena Disyaki Bawa Barangan Strategik Ke Israel

Menurut Anwar, tindakan berkenaan turut selaras dengan komitmen Malaysia di bawah The Hague Group serta larangan yang berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap penggunaan pelabuhan negara oleh kapal Israel dan kapal yang membawa kargo ke Israel.

Beliau berkata Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin.

Terdahulu, MCBA memaklumkan, pihaknya menahan dan memeriksa sebuah kontena di PTP pada Jumaat, 7 Ogos, selepas mengesyaki ia mengandungi barangan yang ditujukan untuk dieksport ke Israel.

Agensi itu berkata penghantaran berkenaan disyaki melanggar Butiran 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang melarang eksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan keputusan Kerajaan Malaysia.

Rampasan itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia menguatkuasakan sekatan perdagangan berkaitan Israel serta menghalang penghantaran yang dilarang daripada melalui negara ini. - Getaran, 9 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved