
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 malam tadi untuk berbicara dengan beberapa pemimpin dunia mengenai perkembangan geopolitik dan konflik kemanusiaan.
Anwar berkata, antara pimpinan dunia yang ditemuinya ialah Presiden Mesir, Presiden Indonesia, Presiden Kazakhstan, Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Katanya, perbincangan yang berlangsung menyentuh perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik dan krisis kemanusiaan yang terus berlarutan di Gaza serta ketegangan di Asia Barat.
“Keadaan ini menuntut kesatuan tekad masyarakat antarabangsa, khususnya para pemimpin dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan.
“Insya-Allah, beberapa perkara berkaitan hubungan Malaysia-Mesir akan dibincangkan dengan lebih mendalam tatkala Presiden Abdel Fattah El-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bulan hadapan,” katanya dalam kenyataan di laman X di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut membincangkan isu kebakaran hutan serta perkembangan konflik di Asia Barat bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Kedua-dua isu berkenaan memerlukan kesepakatan dan tindakan bersama.
“Saya turut memperbaharui jemputan kepada beliau untuk berkunjung ke Malaysia sesegera mungkin agar beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh dapat dibincang dan dimuktamadkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Anwar sentuh isu Gaza, Asia Barat bersama pemimpin dunia appeared first on Kosmo Online.






