Anwar tegur sikap mudah label orang munafik

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 5:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Anwar tegur sikap mudah label orang munafik

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang mudah melabel orang lain sebagai munafik dan mengkafirkan sesama Islam hanya kerana perbezaan pandangan yang mana pendekatan itu tidak mencerminkan akhlak serta keperibadian dituntut agama.

Perdana Menteri berkata, kecenderungan menghukum orang lain selepas mempelajari agama secara terbatas merupakan antara masalah yang perlu ditangani menerusi pengukuhan ilmu, kesedaran dan kefahaman Islam secara menyeluruh.

Menurut beliau, usaha mengangkat martabat umat Islam perlu bermula dengan tradisi keilmuan dan pendekatan dakwah berasaskan hikmah, bukannya dengan tindakan mudah menghukum atau melabel pihak lain.

“Kalau tidak, sekarang ini banyak juga masalah. Belajar agama sedikit, terus menghukum dan menjadi takfiri. Terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Majlis itu menampilkan tokoh agamawan Indonesia, Ustaz Abdul Somad yang menyampaikan Tausiyah Ilmu.

Anwar berkata, usaha memperkukuh kefahaman Islam turut menjadi pertimbangan dalam merangka belanjawan negara, termasuk dengan mendapatkan pandangan ulama, guru agama dan institusi pendidikan tradisional.

Beliau berkata, kerajaan berusaha menghidupkan semula institusi pondok dan pesantren serta mendapatkan pandangan ulama bagi memperkukuh pengajian agama, termasuk melalui penelitian terhadap kitab-kitab turath atau khazanah keilmuan Islam klasik.

“Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama, tuan-tuan guru. Kita panggil di sini, minta pandangan dan mereka kata semua okey. Tapi ada kelemahan besar. Apa dia? Kamu tidak menggali turath.

“Jadi, kita rencanakan bagaimana harus kita menggali kitab-kitab lama, turath,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal apabila usaha berkenaan masih mengundang tuduhan terhadap kepemimpinan dan belanjawan kerajaan, termasuk dakwaan bahawa pemimpin serta belanjawan yang dibentangkan adalah munafik.

“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Anwar tegur sikap mudah label orang munafik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved