KERALAM (INDIA), (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, yang julung-julung kali dianugerahkan sebagai pengiktirafan terhadap khidmat awam beliau selama lebih lima dekad serta sumbangannya dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan manusia.
Anugerah itu disampaikan oleh Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad pada majlis “Gathering of Honour Prime Minister Malaysia” di Markazu Saquafathi Sunniya, yang turut dikenali sebagai Jamia Markaz, di sini.
Baca juga:Perdana Menteri turut menerima plak dan manuskrip Sahih Bukhari.
Pengiktirafan itu disampaikan semasa lawatan Anwar ke Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi beliau ke India, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India serta meneroka kerjasama dalam bidang baharu.
Dalam petikan penghargaan yang dibacakan pada majlis itu, Rektor yayasan berkenaan Dr Roshan Nurani berkata Anwar telah memperlihatkan ketabahan, visi serta komitmen berterusan terhadap dialog, pembangunan yang saksama, pendidikan dan martabat manusia sepanjang penglibatan dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata sumbangan Anwar tidak terhad kepada bidang politik, khususnya menerusi usaha beliau memelihara dan menyebarluaskan tradisi keilmuan Islam.
“Maka dengan ini, Yayasan Sheikh Abu Bakar menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar yang pertama kepada Anwar Ibrahim.
“Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam perkhidmatan awam, pendidikan, pembangunan ekonomi dan institusi, pemikiran Islam serta dialog antarabangsa, di samping menghargai dedikasi untuk membentuk masyarakat melalui ilmu, kepimpinan dan kemanusiaan,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sheikh Abubakr selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.
Di Malaysia, Sheikh Abubakr yang juga Mufti Besar India ke-10 pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang keilmuan dan aktiviti kemanusiaan.
Jamia Markaz turut menjalin kerjasama akademik dengan beberapa universiti terkemuka di Malaysia.






