UMS Raikan 2,310 warga dan pesara menerusi AKU 2026

28 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMS Raikan 2,310 warga dan pesara menerusi AKU 2026

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan seramai 2,310
kakitangan dan pesara menerusi 10 kategori Anugerah Kecemerlangan UMS (AKU)
2026 sebagai penghargaan terhadap sumbangan, komitmen dan prestasi warga
Universiti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata kecemerlangan
universiti bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut
bergantung kepada kualiti penyampaian perkhidmatan, kelancaran sistem serta
kerjasama setiap lapisan warga UMS.

“Universiti bukanlah sekadar gedung ilmu yang statik tetapi sebuah ekosistem
tamadun dan denyut nadi kemajuan masyarakat dan di sinilah idea besar
dicambahkan, inovasi dilonjakkan dan nilai kemanusiaan ditempa demi memacu
keutuhan sosial, ekonomi, serta kelangsungan masa depan negara.

“Pengiktirafan ini adalah bukti nyata terhadap kejituan komitmen, profesionalisme
dan daya tahan luhur anda dalam menyempurnakan amanah.

“Daripada jumlah tersebut, 51 pesara menerima Anugerah Jasamu Dikenang,
manakala 128 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),”
katanya ketika berucap merasmikan AKU 2026.

Selain itu, Kasim berkata 46 kakitangan menerima Anugerah Mutiara atas 30 tahun
perkhidmatan, 52 individu menerima Anugerah Sanjungan Budi bagi tempoh
perkhidmatan 25 tahun dan 116 kakitangan menerima Anugerah Jasa Setia selepas
20 tahun berkhidmat.

Anugerah Jasa Bakti turut diberikan kepada kakitangan yang telah berkhidmat
selama 10 tahun, manakala 91 penerima menerima Anugerah Inovasi UMS sebagai
pengiktirafan terhadap usaha menghasilkan pendekatan dan penyelesaian baharu
dalam perkhidmatan universiti.

Turut diperkenalkan ialah Anugerah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan JAFPIB Terbaik serta Anugerah Khas Naib Canselor yang mengiktiraf
individu dengan pencapaian dan impak luar biasa di peringkat kebangsaan serta
antarabangsa.

Dalam pada itu, 1,720 kakitangan turut menerima sijil Anugerah Perkhidmatan
Terpuji selepas memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 90
peratus ke atas.

“Kecemerlangan yang kita raikan bukanlah sekadar kejayaan dan kemegahan
peribadi tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab besar kita dalam
usaha mendidik dan melahirkan barisan pembina negara.

“Kita mahukan warga kerja serta graduan kita kelak benar-benar berpaksikan
kemanusiaan, dipacu matlamat yang jelas, serta sentiasa mendambakan
kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama, berdaya tahan, dan mampu menerajui
kemampanan.

“UMS turut memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan prestasi dan
keberkesanan sistem penyampaian melalui pelaksanaan MyPerformance sebagai
instrumen penilaian yang lebih menyeluruh, objektif dan berfokus kepada
keberhasilan,” katanya.

Kasim turut menyeru warga UMS supaya mengambil langkah proaktif dalam
menghadapi cabaran ekonomi dan kekangan peruntukan, termasuk menyusun
semula keutamaan perbelanjaan, membudayakan penjimatan serta meningkatkan
usaha menjana pendapatan universiti.

Menurutnya, usaha penjanaan pendapatan perlu dipertingkatkan menerusi
pengkomersialan hasil penyelidikan, penawaran program akademik premium serta
penggunaan aset sedia ada universiti secara optimum bagi memastikan kelestarian
kewangan UMS.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail;
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi;
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin;
Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail;
Penolong Naib Canselor (Strategik); Prof. Dr. Mohamad Saffree Jeffree; Penolong
Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ts. Dr. Rayner Alfred; Ketua
Pegawai Digital, Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim; dan Ketua Bahagian Pengurusan
Sumber Manusia, Sirahim Abdullah. –UTUSAN

 

The post UMS Raikan 2,310 warga dan pesara menerusi AKU 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved