
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Gabenor Kerala, Rajendra Vishwanath Arlekar dalam rangka lawatan beliau ke negeri berkenaan, hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu turut menyentuh hubungan Malaysia-Kerala yang telah terjalin sejak sekian lama menerusi jaringan perdagangan, pendidikan, pergerakan masyarakat serta pertukaran budaya.
“Hubungan berkenaan terus menjadi asas penting dalam memperkukuh jalinan antara rakyat Malaysia dan India.
“Bicara kami pantas menyentuh mengenai hubungan Malaysia-Kerala yang telah berakar sejak sekian lama menerusi jalinan perdagangan, pendidikan, pergerakan masyarakat serta pertukaran budaya yang terus mempererat hubungan antara rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi memperluas kerjasama dalam sektor bernilai tinggi termasuk ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan.
Katanya, kerjasama tersebut selaras dengan kekuatan serta kepentingan bersama yang dimiliki Malaysia dan Kerala.
“Alhamdulillah, kami turut sepakat untuk meneroka usaha meningkatkan hubungan perniagaan, merancakkan aliran pelancongan serta memperbanyak pertukaran antara rakyat agar hubungan erat ini terus berkembang dan membawa manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Kerala perlu terus diperkasakan bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar terima kunjungan hormat Gabenor Kerala appeared first on Kosmo Online.




