Anwar Tiba Di Maldives Bagi Lawatan Rasmi Dua Hari

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 12:05 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Anwar Tiba Di Maldives Bagi Lawatan Rasmi Dua Hari

MALE (MALDIVES), 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Maldives malam ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari yang dijangka memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1968.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana di sini pada 8.12 malam waktu tempatan (11.12 malam waktu Malaysia), dan ketibaan beliau disambut oleh Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu.

Kehadiran Muizzu secara langsung mencerminkan kemesraan dan hubungan baik antara kedua-dua pemimpin.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta delegasi Malaysia.

Yang turut menyambut ketibaan beliau ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam, Menteri Hal Ehwal Agama Maldives Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed sebagai menteri pengiring serta pegawai kanan kedua-dua negara.

Sejurus tiba, Anwar diberikan penghormatan oleh kawalan kehormatan dan sebelum berangkat ke Official Jetty, beliau diraikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar sekolah bersempena dengan ketibaan Perdana Menteri ke republik kepulauan itu.

Muizzu kemudian mengiringi Anwar ke Official Jetty, melengkapkan sambutan mesra kepada Perdana Menteri pada permulaan lawatan sulung rasmi beliau.

Esok, jadual Perdana Menteri dijangka bermula dengan sambutan rasmi di Republic Square Male sebelum beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Muizzu yang disusuli mesyuarat dua hala melibatkan delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam.

Anwar juga dijadual menerima kunjungan hormat beberapa menteri Maldives, yang diakhiri dengan jamuan makan tengah hari rasmi dihoskan oleh Muizzu.

Maldives ialah destinasi terakhir Perdana Menteri selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi pada Jumaat dan lawatan ke Keralam sebelum berlepas ke republik kepulauan itu.

Baca juga:

Maldives ialah antara rakan ekonomi penting Malaysia di Asia Selatan dan pada 2025, adalah rakan dagang keenam terbesar negara Malaysia di rantau itu dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM792 juta selain nilai eksport negara ke republik itu pada tahun sama mencecah RM786.2 juta.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved