
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Persekutuan Russia, Vladimir Putin bersetuju mempercepat pelaksanaan perjanjian dua hala selain meneruskan usaha memperkukuh hubungan udara antara Malaysia dan Rusia.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan semasa pertemuan dua hala bersama Putin sebaik tiba di New Delhi, India, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Rusia.
Katanya, pertemuan itu berlangsung dalam suasana persahabatan, selain memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin menilai kemajuan hubungan dua hala serta menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
“Antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan mempercepatkan usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Russia serta kemudahan perjalanan tanpa visa yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kedua-dua kemudahan berkenaan penting bagi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Russia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, di sini, hari ini.
Katanya, beliau turut menyatakan penghargaan atas dukungan Russia terhadap kerjasama tenaga bersama Malaysia.
“Kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata beliau dan Putin turut membincangkan usaha meningkatkan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Russia.
“Yang lebih utama, setiap persetujuan yang dicapai mesti segera diterjemahkan kepada pelaksanaan.
“Pada penghujung pertemuan, saya menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Presiden Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia,” katanya.
Jelasnya, lawatan itu kelak akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Russia yang semakin erat, matang dan saling menguntungkan.- KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Russia percepat pelaksanaan perjanjian dua hala appeared first on Kosmo Online.






