
Semua orang mahu Bajet 2027 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 3.30 petang ini di Parlimen berpihak kepada mereka.
Golongan muda mahu pendapatan setara dengan taraf pendidikan, Orang Asli mahu infrastruktur ditambah baik dan suri rumah serta ketua keluarga mahu kos sara hidup dapat diringankan.
Kajian dan penelitian oleh pasukan Kementerian Kewangan dan beberapa pihak lain yang terlibat dalam membuat Bajet sudah tentu dilakukan secara menyeluruh.
Siapa yang tidak gembira sekiranya ada peruntukan untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM10,000 berdasarkan kepada keadaan ekonomi dan kos sara hidup ketika ini.
Syarat untuk mendapatkan bantuan dengan pendapatan di bawah RM5,000 sudah tidak lagi relevan. Ketua keluarga perlu membahagikan perbelanjaan makanan, utiliti dan lain-lain mengikut keadaan semasa berdasarkan gaji bulanan yang ketat.
Jika ada tiga atau empat anak yang sudah bersekolah dan melanjutkan pelajaran di menara gading atau kolej, sudah tentu perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan juga amat tinggi.
Lebih malang apabila golongan M40 yang mempunyai gaji lebih RM5,000 tetapi kurang daripada RM10,000 tidak layak untuk mendapatkan apa-apa bantuan.
Apa yang menjadi perbincangan hangat ketika ini ialah mereka yang memiliki ijazah dan ke atas menerima gaji yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik masing-masing.
Sebaik keluar universiti dengan segenggam ijazah, mereka masih tercari-cari kerjaya yang setara tetapi masih belum menemuinya menyebabkan golongan itu terpaksa menceburi bidang lain untuk menampung hidup.
Terdapat segelintir pemimpin negara juga telah memberi bayangan bahawa Bajet kali ini akan memfokuskan kepada isu itu, namun meminta kita semua menunggu sehingga pembentangannya pada hari ini.
Apa yang penting, pengumuman itu perlu seiring dengan hasrat kerajaan untuk melihat negara ini terus dipacu khususnya dalam mencapai kedudukan status negara maju.
Di sebalik semua itu, kita mahukan intipati perbelanjaan pengurusan dan pembangunan negara yang cemerlang untuk melindungi kebajikan rakyat.
Faedah, impak dan kesan Bajet 2027 perlu membendung rakyat daripada berdepan dengan kemelut ekonomi sekiranya ada pada tahun depan.
Walaupun pembentangan ini dilakukan pada setiap tahun, ia sentiasa mendapat perhatian segenap lapisan kerana Belanjawan negara sememangnya dekat dengan setiap orang.
Jangkaan-jangkaan dan harapan semua orang pada tahun depan perlu diambil kira bagi memastikan Bajet 2027 bersifat mampan dan mampu berdaya saing.
Harapan dan cakap-cakap mengenai Bajet sudah berlegar dalam kalangan masyarakat sejak beberapa minggu lalu dengan sebahagiannya mahu Sumbangan Asas Rahmah dinaikkan daripada RM100 ke RM200 secara one off.
Sebagai rakyat, kita seharusnya bersyukur kerana masih dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera walaupun sebahagiannya dihimpit kekangan kewangan.
Sudah tentu pemimpin negara mengambil kira secara keseluruhan dan kehendak rakyat untuk mengharungi tahun yang lebih mencabar pada masa-masa akan datang.
The post Apa kita akan dapat pukul 3.30 petang ini? appeared first on Kosmo Online.

![[LIVE] Saksikan Siaran Langsung Pembentangan Belanjawan 2027 Oleh YAB Perdana Menteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/10/belanjawan-2-300x158.jpg)




