DALAM banyak negara hari ini, dasar cuti bersalin tidak lagi dilihat sekadar tempoh rehat sementara untuk ibu pulih selepas melahirkan anak.
Sebaliknya, ia semakin berkembang menjadi sebahagian daripada sistem sokongan keluarga yang lebih menyeluruh.
Peralihan ini didorong oleh kesedaran bahawa cabaran sebenar ibu bapa bermula bukan hanya ketika cuti, tetapi selepas mereka kembali ke rutin harian dengan tanggungjawab baharu, kos meningkat dan tekanan kerja yang kembali menuntut perhatian.
Di beberapa negara lain pendekatan ini diterjemahkan melalui sokongan kewangan berterusan.
Ibu bapa bukan sahaja diberi cuti yang panjang, malah menerima elaun bulanan untuk tempoh yang lebih lama, walaupun pada kadar berbeza.
Sistem ini memastikan pendapatan tidak terhenti secara mendadak selepas cuti tamat, sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu tanpa tekanan kewangan.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko keletihan melampau, malah membantu mengekalkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan ibu bapa, khususnya wanita.
Dalam konteks ini, tindakan kerajaan memperkenalkan elaun pasca cuti bersalin boleh dilihat sebagai langkah awal ke arah sistem yang lebih progresif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu diperkenalkan susulan dapatan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita, khususnya berumur antara 25 hingga 39 tahun, menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen materniti.
Buat masa ini, sokongan selepas cuti bersalin di Malaysia masih terhad dan banyak bergantung kepada dasar majikan.
Pengenalan elaun sedemikian berpotensi mengurangkan jurang sokongan yang wujud selepas tempoh cuti tamat, terutama bagi ibu yang berdepan tekanan kewangan ketika kembali bekerja.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan liputan yang lebih adil, malah mengurangkan risiko diskriminasi terhadap wanita dalam pasaran kerja.
Jika ia dilaksanakan dengan betul, langkah seperti ini boleh menjadi titik permulaan kepada sistem sokongan keluarga yang lebih menyeluruh di Malaysia selari dengan amalan terbaik di peringkat global.





