Anwar umum RM1 juta bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan

LocalBusiness & Finance
1 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Anwar umum RM1 juta bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan

HULU LANGAT, 1 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil.

Menurutnya, peruntukan yang diselaraskan kementerian itu bertujuan meningkatkan keupayaan perniagaan serta pendapatan golongan berkenaan.

“Jadi untuk kali ini saya bagi RM1 juta yang boleh bantu penjaja. Boleh bantu beratus penjaja, gerai, persatuan seluruhnya. Jadi atur baik-baik dan bantu bagi juga penjelasan kepada peniaga (mengenai bantuan).

“Bantu supaya setiap tahun kita ada peningkatan pendapatan perniagaan. Saya juga mahu gabungan persatuan penjaja dan peniaga kerjasama dengan KUSKOP. Saya nak tahu ambil, purata pendapatan perniagaan tiga tahun lalu dan tahun ini, berapa peningkatan dan sebagainya.

“Dengan itu kita boleh buat penilaian, apa kelemahan, apa kekurangan. Bagi saya kalau kita dapat bantu penjaja dan penjaga kecil, kita akan bantu lebih satu juta keluarga,” katanya berucap merasmikan penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan 2026 (HPPK2026) di Dataran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Stadium Kajang, hari ini.

Image from: Anwar umum RM1 juta bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir dalam Majlis perasmian penutupan karnival hari penjaja dan peniaga kecil peringkat kebangsaan di Stadium Kajang pada 1 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut mahu perhatian diberi kepada penyediaan kemudahan gerai dan warung yang lebih bersih, tersusun serta selesa bagi memastikan penjaja kecil terus mendapat tempat dalam kegiatan ekonomi negara.

Katanya, majoriti rakyat masih menjadikan gerai dan warung sebagai pilihan untuk mendapatkan makanan, justeru kemudahan perniagaan golongan itu perlu diberi perhatian dan ditambah baik.

"Sebanyak 80 hingga 85 peratus rakyat makan di gerai dan warung. Yang makan di hotel besar tidak mengapa, kita tidak marah, mereka ada wang masing-masing. Sebab itu saya mahu gerai penjaja dinaik taraf, dicantikkan dan lebih bersih,” katanya.

Anwar berkata sokongan terhadap penjaja dan peniaga kecil bukan sekadar membantu kelangsungan perniagaan mereka, malah turut memberi kesan kepada ekonomi keluarga serta masyarakat setempat.

Image from: Anwar umum RM1 juta bantu penjaja, peniaga kecil tingkat pendapatan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong melakukan gimik perasmian dalam Majlis perasmian penutupan karnival hari penjaja dan peniaga kecil peringkat kebangsaan di Stadium Kajang pada 1 November 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

HPPK 2026 berlangsung selama tiga hari di Dataran MPKj, Stadium Kajang, Selangor, bermula 30 Oktober hingga hari ini menghimpunkan lebih 300 usahawan dalam usaha memperkenalkan produk tempatan, memperluas peluang perniagaan serta mengiktiraf sumbangan penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved