
PAKATAN Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos, lalu.
Kemenangan itu bukan sekadar menang dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, namun kejayaan dua pertiga atau 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membawa kedudukan yang kukuh.
BN mendapat 18 kerusi DUN (16 UMNO dan 2 MCA), 7 PN (4 Pas dan 3 Parti Wawasan Negara (Wawasan). Sementara Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 11 kerusi.
Apa yang memeranjatkan adalah kekalahan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Chennah oleh MCA mewakili BN.
Apa mesej besar yang ingin disampaikan oleh pengundi kaum Cina? Adakah ini simbol kebangkitan semula MCA dan penolakan kepada DAP?
Situasi yang berlaku di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dan kesinambungan sebagaimana berlaku di Johor, bulan lalu dan di Sabah pada November 2025.
Trend penolakan terhadap parti komponen PH juga berlaku di Sabah apabila semua lapan calon DAP kalah dan ditolak oleh pengundi.
Begitu juga PKR yang mewakili kaum Cina (Api-Api dan Inanam). Ketika itu, PKR hanya menang satu kerusi. DAP dan PKR kaum Cina kalah di kawasan kubu kuat mereka sendiri.
Keadaan hampir sama berlaku di Johor dan Negeri Sembilan. Kawasan majoriti pengundi Cina yang selama ini menjadi kubu kuat bagi calon DAP sudah tidak lagi selamat apabila ditawan BN/MCA. Adakah situasi ini permulaan perubahan kaum Cina dan kebangkitan semula MCA?
Keadaan sama berlaku di kawasan majoriti pengundi Melayu apabila PKR gagal mendapat sokongan mereka. BN-PN berjaya menarik sokongan pengundi Melayu secara jelas. Ini berlaku di Negeri Sembilan dan juga di Johor.
Secara mudahnya kita dapat katakan PKR tidak memenangi undi di kawasan pengundi Melayu sementara DAP pula gagal menawan dan menarik sokongan pengundi Cina di kawasan pengundi majoriti kaum Cina.
Apakah akan berlaku kepada kedudukan PH di peringkat pusat jika trend ini berterusan? Mampukah PH menyekat perubahan yang sedang berlaku? Berjayakah PH (terutamanya PKR dan DAP) mengubah trend penolakan yang sedang berlaku?
Trend penolakan PH yang berlaku di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan seakan sama dan mungkin akan berterusan. Mampukah trend ini disekat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Jika benar, apakah yang perlu dilakukan PH dalam menghadapi angin dan ribut perubahan ini? Apakah sebab utama yang membawa kepada penolakan pengundi Melayu kepada PH? Adakah penolakan ini menunjukkan polisi ekonomi dan bantuan yang diberikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat umum tidak mencukupi? Apakah akan berlaku kepada kedudukan PH jika trend ini berterusan kerana boleh membawa keruntuhan kerajaan pusat?
Tidak mustahil situasi di DUN ‘berjangkit’ ke kawasan Parlimen. Bahkan, perkara sama mungkin berlaku di Melaka.
Mata kini tertumpu sama ada PH mampu menyekat perubahan ini? PH perlu melihat semula sama ada dasar pentadbiran dari segi ekonomi dan politik mereka ‘dibenci’ rakyat?
Sudah pasti, suara lantang yang bersemangat sahaja sukar untuk mengubah pendirian rakyat atau pengundi terbanyak sebaliknya mereka perlu membina keyakinan dari lubuk hati. Ia ibarat sebuah bangunan yang mana pembinaan fizikal tidak sepenting asas binaan yang menjamin kekuatan bangunan dibina.
Sekuat manapun bangunan itu, tanpa asas yang kukuh, lambat laun akan runtuh dan tidak kekal lama.
Tempoh masa menghadapi PRU16 semakin singkat. Langkah segera perlu diambil bagi menghadapi angin ribut perubahan yang sedang berlaku bagi mengukuhkan kedudukan PH.
Tanpa tindakan segera dan menyekat perubahan yang sedang berlaku, pastinya gabungan politik itu akan menerima kesan buruk dan berdepan risiko besar.
PH tidak lagi boleh membuang masa, mereka perlu melakukan kajian terperinci terhadap rakyat umum/pengundi bawahan secara meluas. Mereka perlu ambil tahu alasan sebenar pengundi menolak PH. Bahkan, kajian perlu dilakukan segera dan menyeluruh sifatnya.
Walaupun pelbagai tafsiran berkaitan kekalahan PH, namun perlu juga difahami yang segala jawapan terhasil daripada perbezaan sudut pandang politik selain perlu dilihat dalam aspek realiti sebenar dan kesan jangka panjang.

PERKARA 153
Persoalan besar seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (Hak dan kedudukan Istimewa Orang-orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak) perlu ditafsir dengan tepat dan menyeluruh.
Perkara ini berkaitan masa depan orang-orang Melayu yang perlu dipelihara bagi kepentingan jangka panjang.
Perkara 153 mempunyai kaitan langsung dengan peluang pekerjaan, pelantikan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan serta pelbagai bentuk kemudahan yang melibatkan orang Melayu dan bumiputera. Kesemua aspek ini sering dilihat sebagai sebahagian daripada mekanisme yang menyokong kelangsungan sosioekonomi orang Melayu serta kestabilan negara dalam jangka panjang.
Selain itu, Perkara 153 turut menjadi asas kepada pelaksanaan dasar seperti pemberian biasiswa, kemasukan ke program matrikulasi dan pelbagai inisiatif pendidikan lain.
Dalam aspek perkhidmatan awam pula, ia berkait rapat dengan isu kuota, pengisian jawatan dan skim pencen. Justeru, timbul persoalan sama ada setiap keputusan dasar kerajaan wajar dinilai secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira semangat dan tujuan Perkara 153.
Pendekatan inilah yang sering dikaitkan dengan kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein, yang meletakkan kepentingan Perkara 153 sebagai antara asas pertimbangan dalam dasar-dasar utama negara.
Pada masa sama, pelbagai dasar ekonomi dan bantuan yang diperkenalkan kerajaan kepada seluruh rakyat sememangnya penting dan wajar diteruskan. Namun, persoalan yang turut dibangkitkan ialah sejauh mana dasar-dasar tersebut bergerak seiring dengan falsafah Perkara 153 dalam menjamin kelangsungan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera.
Dalam konteks ini, timbul perbahasan sama ada dasar utama kerajaan berpaksikan semangat Perkara 153 atau lebih menekankan pendekatan kesaksamaan untuk semua warga.
Perbincangan ini penting kerana menyentuh persepsi terhadap jaminan kedudukan penduduk asal serta hala tuju dasar negara dalam jangka panjang. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Ketua Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu & Felo Majlis Profesor Negara (MPN).
The post Apa alasan sebenar pengundi tolak PH? appeared first on Utusan Malaysia.






