
SEREMBAN – ‘Badan saya tak sakit sebab tak jadi Menteri Besar. Kenapa orang lain pula yang sakit?
Itu seloroh Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias selepas ada pihak mendakwa beliau berasa kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar selepas kejayaan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, apa lebih penting BN bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
“Saya berlapang dada kerana fokusnya sejak awal adalah memastikan BN kembali menerajui pentadbiran negeri.
“Saya gembira hasrat perjuangan untuk memberi kemenangan kepada BN dan memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya.
“Mandat besar sudah diberikan kepada BN. Yang patut diraikan ialah kemenangan BN,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ditanya mengenai ketidakhadirannya pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti kelmarin, beliau memaklumkan membaca notis yang dihantar pihak protokol pada pukul 4.50 pagi selepas subuh.
“Saya hanya sempat membaca notis berkenaan selepas subuh, lagi pun saya mempunyai program yang telah dijadualkan lebih awal,” katanya.
Kelmarin, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim diangkat menjadi Menteri Besar baharu yang menerima watikah pelantikan daripada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, gabungan BN-PN menguasai 25 daripada kerusi DUN untuk memperoleh majoriti dua pertiga bagi pembentukan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin memaklumkan, beliau tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain.
“Pelantikan itu adalah hak prerogatif Menteri Besar untuk menentukan barisan Exconya. Saya juga tidak akan tawarkan diri menjadi Exco kerana saya sudah menjadi Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang.
“Saya telah mengetengahkan calon-calon terbaik dan berkaliber daripada BN, bagi mereka peluang. Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa.
“Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya.
The post ‘Walapun dulu pernah kalah, saya tetap berkhidmat’ appeared first on Kosmo Digital.





