Maestro lagu cinta terkenal, Yovie Widianto, kembali berkolaborasi dengan tiga diva muda berbakat dari Indonesia; Lyodra, Tiara Andini, dan Ziva Magnolya.
Lagu ini, yang digubah oleh Arsy Widianto dan diterbitkan khas oleh Yovie Widianto untuk trio LTZ, diberi judul “Apa Artinya Aku”.
Single “Apa Artinya Aku” mengisahkan tentang seseorang yang sedang dilamun cinta, namun cintanya tidak berbalas.
Lebih menyedihkan lagi, dia hanya dianggap sebagai pilihan kedua oleh orang yang dicintainya.
“Cerita lagu ini sebenarnya agak ringkas, ia tentang cinta tidak berbalas.
"Seseorang menyimpan perasaan dan menunggu dengan penuh harapan, tetapi akhirnya kecewa kerana
hanya menjadi ‘pilihan kedua’. Tema utama lagu ini berkisar tentang kekecewaan dan kesedihan,” kata Arsy Widianto, selaku komposer lagu ini.
Menurut Yovie Widianto, pemilihan ketiga-tiga penyanyi ini dibuat berdasarkan kehebatan vokal mereka yang luar biasa.
“Semasa rakaman bersama komposer Arsy Widianto dan pengarah vokal Mas Bowo serta Dennys Nussy, penghayatan Lyodra, Tiara, dan Ziva benar-benar menyentuh perasaan. Walaupun terdapat cabaran di bahagian ‘bridge’ lagu, suara mereka tetap kedengaran indah dengan keunikan tersendiri,” ujar Yovie.
“Tidak ada yang meragui kemampuan vokal mereka. Mereka adalah antara penyanyi muda terbaik dalam industri muzik hari ini. Saya memang gemar dengan karakter vokal mereka dan tahu bagaimana lagu ini harus disampaikan berdasarkan keunikan vokal masing-masing,” tambah Yovie Widianto.
Apa Artinya Aku Kolaborasi Lyodra, Tiara Andini & Ziva Magnolya - "Ceritanya Tentang Cinta Tak Berbalas"

Gempak
Portal Hiburan No.1 Malaysia!
