![Apa Beza Hari Kebangsaan & Hari Malaysia? Ini Yang Patut Korang Tahu [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/beza-hari-malaysia-dan-hari-kebangsaan.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seperti semua tahu, rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Namun mungkin masih ada di antara kita yang belum tahu apakah perbezaan utama di antara dua hari bersejarah ini.
Yang pastinya, kedua-dua tarikh itu akan mengingatkan anda tentang kebudayaan, warisan, dan perpaduan pelbagai kaum dan etnik di negara ini.
Hari Merdeka Diisytihar Tunku Abdul Rahman Pada 31 Ogos 1957
Untuk info, Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisyitiharkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British pada tanggal 31 Ogos 1957.
Sebelum mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa kuasa besar selama lebih 400 tahun termasuklah British, Jepun, Portugis dan Belanda sejak tahun 1511.
Bagi menandakan titik noktah daripada jajahan British, Bapa Kemerdekaan Negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dengan lantang melaungkan perkataan ‘Merdeka!’ sebanyak tujuh kali di hadapan ribuan rakyat pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Tarikh keramat ini kemudiannya digelar sebagai Hari Kebangsaan atau Hari Merdeka yang disambut menjelang 31 Ogos pada setiap tahun.
Ada Pihak Tak Bersetuju 31 Ogos 1957 Digelar Hari Merdeka Kerana Sabah & Sarawak Bebas Jajahan British Pada Tahun Berbeza
Namun begitu, gelaran Hari Merdeka sebenarnya pernah menjadi perdebatan yang mana dua kumpulan mempunyai dua pendapat berbeza.
Ada kumpulan yang merasakan bahawa Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara dan juga Sarawak dipinggirkan kerana masing-masing bebas daripada jajahan British pada 31 Ogos 1963 serta 22 Julai 1963, bukannya 31 Ogos 1957.
Najib Razak Umum Perubahan Nama Kepada Hari Kebangsaan Untuk Elak Persefahaman Antara Penduduk Semenanjung, Sabah & Sarawak
Oleh disebabkan perbezaan pendapat dan perdebatan yang tidak berkesudahan, Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perubahan pertukaran gelaran Hari Kemerdekaan kepada Hari Kebangsaan berkuatkuasa pada tahun 2015.
Gelaran itu bertujuan merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira latar belakang sama ada dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak.
Menurut beliau, tarikh 31 Ogos 1957 lebih tertumpu kepada tarikh kemerdekaan Malaya (Semenanjung Malaysia) manakala 16 September 1963 lebih dirasai oleh penduduk Sabah dan Sarawak.
Hari Malaysia Sempena Memperingati Pembentukan Malaysia Menerusi Penggabungan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak & Singapura Pada 1963
Jadi apa pula Hari Malaysia dan apa perbezaannya dengan Hari Kebangsaan?
Hari Malaysia ialah hari bagi memperingati penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura yang membentuk sebuah negara digelar Malaysia.
Gabungan itu dicadangkan Tunku Abdul Rahman bagi menguatkan kedudukan Tanah Melayu untuk mengusir jajahan luar dan rundingan itu secara rasmi dimeterai pada 16 September 1963.
Dari situlah terlahirnya sebuah negara bernama Malaysia.
Cuti Umum Hari Malaysia Diisytihar Najib Pada Tahun 2010
Pun begitu, sambutan Hari Malaysia hanya mula diraikan dan diisytiharkan sebagai cuti awam pada tahun 2010. Perkara itu diumumkan Najib semasa persidangan Dewan Rakyat.
“Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.
“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” kata Bapa Transformasi, Najib Razak pada waktu itu.
Kesimpulan Perbezaan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia
Secara kesimpulannya, Hari Kebangsaan atau Hari Merdeka disambut oleh semua rakyat seluruh negara pada 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan.
Manakala, Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963 yang mana ia menitikberatkan aspek perpaduan antara kaum.
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa 31 Ogos 1957 Dipilih Sebagai Tarikh Kemerdekaan? Ini Kisahnya
Baca Artikel Berkaitan: Ini 7 Fakta Menarik Tentang Hari Kemerdekaan Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Dalam Banyak-banyak Pilihan, Kenapa Bunga Raya Dinobat Sebagai Bunga Kebangsaan? Ini Kisahnya






