
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak ada berlakunya pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi sidang media di Parlimen hari ini (9 Oktober) berkata, pihaknya tidak menghasilkan sebarang bentuk dokumen tujuh pemain warisan itu.
“Di pihak kita tidak ada, apa dokumen yang kita hasilkan? Bila FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kata ada pemalsuan dokumen, ia bukannya maksudkan dokumen daripada kita, tidak ada,” katanya dipetik Harian Metro.
Taraf kewarganegaraan 7 pemain warisan dibuat mengikut prosedur
Sebelum ini, beliau menjelaskan taraf kewarganegaraan tujuh pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan melalui jalur naturalisasi.
Menurutnya, perkara itu selepas mempertimbangkan peruntukan dalam Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut digunakan bagi memproses permohonan sijil kelahiran kepada tujuh pemain itu.
“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan untuk menimbangkan, memproses dan membuat keputusan mengenai permohonan warganegara. Untuk membuat keputusan mengikut Perkara 19 ini ada tiga rukun.
“Yang pertama, pemohon kena bermastautin di sini dalam satu tempoh. Yang kedua, dia kena berkelakuan baik. Maknanya lulus tapisan keselamatan. Yang ketiga, pemahaman bahasa Melayu yang mencukupi. Kemudian bila disemak perkara-perkara itu, dipatuhi.
“Saya juga menggunakan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan yang memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin walaupun baru sehari berada di negara ini,” katanya lagi.
Kini isu hanya FAM dan FIFA – Menteri KDN
Tambah Saifuddin isu yang timbul kini hanya melibatkan FAM dan FIFA dan perlu diselesaikan oleh mereka.
“Bagi syarat Fifa seseorang nak bermain dengan sebuah negara, pertama mereka kena lahir di negara tersebut, kedua ibu atau bapa pemain dilahir di negara tersebut.
“Ketiga, datuk dan nenek pemain dilahir di negara tersebut, maknanya lahir di Malaysia, keempat pemain hidup secara berterusan di Malaysia. Jadi, mana-mana syarat itu dipatuhi maka pemain itu layak mewakili negara yang berdaftar dengan Fifa.
“Jadi, isu itu urusan Fifa dengan FAM, biar mereka selesaikan,” katanya lagi dipetik FMT.
FIFA dedah asal usul datuk nenek 7 pemain warisan Harimau Malaya
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan ‘motivated decision’ atau dokumen bukti yang menunjukkan bahawa tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Menerusi keputusan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA, badan induk bola sepak itu menjelaskan terdapatnya percanggahan antara dokumen yang dikemukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sijil kelahiran asal yang diperolehi FIFA.
Dokumen tersebut menunjukkan datuk atau nenek tujuh pemain itu tidak dilahirkan di negara ini.
Dalam laporan sama, FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain warisan berkenaan.
Ralat pentadbiran punca kesilapan
FAM kemudiannya menjelaskan ralat pentadbiran menjadi punca kesilapan yang membawa kepada isu penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ia dikatakan berlaku apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen pemain dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Baca Artikel Berkaitan: FIFA Dedah Asal Usul Datuk Nenek 7 Pemain Warisan Bukan Dari Malaysia



![“Kurang Ajarnya” – Ramai Bengang Lihat Pemandu Biadap Ketika Ditahan Polis Trafik [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)