Ejen Insurans Dakwa Tiada Kekosongan Wad Kanak-kanak Di Lembah Klang Akibat Influenza, Minta Orang Ramai Jaga Diri

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2025 • 5:27 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Mungkin ada yang tidak tahu, musim influenza sudah pun kembali yang mana ia telah menular di kalangan masyarakat.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Ir Razali Kassim memaklumkan sebanyak 114 kes influenza melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan telah direkodkan.

Susulan itu, ramai pakar perubatan telah menggesa orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksin influenza bagi melindungi diri daripada virus terbabit.

Banyak Wad Kanak-kanak Sudah Penuh Dengan Kes Influenza

Baru-baru ini, seorang konsultan Prudential dikenali sebagai Naim Afandi mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan peningkatkan kes jangkitan influenza lebih-lebih lagi golongan kanak-kanak.

Dakwa Naim, dia telah berhubung dengan banyak hospital sekitar Lembah Klang, namun kesemua wad kanak-kanak pusat perubatan tersebut sudah dipenuhi dengan pesakit positif influenza.

Antaranya adalah:

  • KPJ Selangor
  • KPJ Klang
  • Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau
  • Hospital Columbia Asia, Klang
  • Hospital Avisena Woman & Children
  • Hospital Pantai Klang
  • MSU Medical Centre
  • Prince Court Medical Centre

“Lain macam betul penangan influenza kali ni. Semua wad kanak-kanak hospital kawasan Lembah Klang dah penuh. Dah call semua kawasan Klang Valley tak ada satu pun yang ada kekosongan,” ujarnya.

Banyak Hospital Kini Berdepan Situasi High Census

Bukan itu sahaja, seorang petugas hospital Subang Jaya Medical Centre juga telah mengesahkan situasi tersebut.

Menurutnya, kebanyakan hospital kini sedang berdepan ‘high census’, iaitu jumlah kemasukan pesakit yang tinggi. Peningkatan ini banyak didorong oleh kes influenza, RSV (respiratory syncytial virus) dan Rotavirus yang semakin kerap dikesan.

Ia sekaligus menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu dalam masa yang agak lama untuk proses kemasukan (admission). Malah ada juga yang terpaksa mencari hospital lain bagi mendapatkan rawatan segera.

Perkara itu telah dihebahkan oleh seorang perunding AIA, Afira Asfari menerusi akaun Threads miliknya.

Ini Perbezaan Antara Influenza A & B

Sebelum ini, seorang pakar perubatan dikenali sebagai Dr Zul telah berkongsi perbezaan di antara influenza A dan juga B.

Jelas beliau, influenza A boleh berjangkit melalui manusia dan haiwan. Influenza jenis ini juga dikatakan lebih serius serta membuatkan pesakit lemah dan tidak bermaya.

Manakala influenza B hanya boleh merebak melalui manusia sahaja.

Tonton video penuh [DI SINI].

Untuk info, cuaca hujan dan panas sepanjang tahun dengan dua monsun utama kebiasaannya menyebabkan jangkitan influenza kemuncak pada dua waktu.

Ini adalah ketika musim peralihan (inter-monsoon) monsun iaitu yang pertama pada bulan Mac hingga April dan kedua pada Oktober hingga Disember.

Gejala Influenza Lebih Kurang Sama Seperti Covid-19

Mungkin ada yang tertanya-tanya sejauh manakah tahap kesakitan yang boleh dialami oleh penghidap influenza?

Pakar Kesihatan Masyarakat dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, sebelum ini berkata ramai tidak menyedari mereka dijangkiti influenza kerana gejalanya yang seakan-akan Covid-19.

Antara gelaja influenza yang perlu diberi perhatian adalah:

  • Demam
  • Selesema
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sesak nafas
  • Telinga bernanah
  • Radang paru-paru
  • Jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia)

Lebih parah lagi ia boleh membawa kepada kematian.

Langkah Pencegahan Jangkitan Influenza

Berikut kami kongsikan juga langkah pencegahan penularan influenza seperti yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini.

  • Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai
  • Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk serta bersin
  • Elak daripada berkongsi barangan peribadi
  • Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan jika mempunyai gejala influenza seperti yang dinyatakan di atas

Kepada ibu bapa di luar sana, diingatkan juga untuk tidak sesuka hati memberi anak anda ubat Suppository Diclofenac (Voren). Memetik Sinar Harian, ubat ini kebiasaanya diambil bagi mengurangkan suhu badan.

Bagaimanapun tanpa nasihat atau kebenaran pakar, ubat ini boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan lain sebagai contoh kerosakan hati, demam denggi berdarah (jika sedang menghidap demam denggi) dan banyak lagi.

Source: