
Isteri kepada Zamani, Nur Juliana Abd Rani baru-baru ini ada membuat satu luahan menerusi status WhatsApp dan ia mendatangkan tanda tanya buat para peminat.
Dia mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan Konsert Doa Buat Zamani, dalam status tersebut, ia berkenaan suaminya sedang membuat persembahan di konsert yang dijalankan pada 30 September lalu itu.
“Aku ni hanya ada dia je dalam hidup aku tau, apa dosa dia sampai korang tergamak buat dia macam tu. Sampai sekarang dia masih percaya korang kawan dia.”
Menurut Nur Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Julie, suaminya itu kini sedang kecewa. Malah, Julie juga menegaskan bahawa dia tidak akan membiarkan mana-mana pihak terlepas kerana ada bukti.

“Lagi seminggu nak operate ni. Apa niat baru nak bagitahu benda ni semalam. Memang dia tengah down sekarang. Korang happy kan?”
“Kalau dia decide putus harapan untuk hidup atau apa-apa jadi kat dia nanti lepas operation, sumpah aku cari korang sampai lubang cacing la se**n…cctv semua ade.”
Menerusi Harian Metro, Julie meminta orang ramai mendoakan individu yang dipercayai telah bawa lari wang Konsert Doa Buat Zamani itu menerima pembalasan.
“Kesian laki aku satu sen pun tak dapat. Tapi dia dapat hidu dari awal dah. Tapi jangan ingat boleh terlepas. Aku lagi bijak dari korang.”
Untung hanya RM 4,635 – Penganjur
Terpanggil dengan kenyataan Julie, Penganjur Konsert Doa Buat Zamani, Aalan Ahmad menyatakan bahawa perkara ini sudah selesai pada Sabtu lalu.
“Saya terkejut apabila Julie menghantar WhatsApp kepada seseorang mendakwa saya menipu duit show suaminya dan mengakui tidak menerima bayaran satu sen pun.”
“Saya dah berjumpa dengan Zamani, Sabtu lalu dan menjelaskan semuanya yang tiket memang tidak dijual. Saya pun ajak dia pergi kepada pihak penjual tiket iaitu mytickets.asia.”
“Mereka belum closing dan berjanji akan buat minggu ini. Saya kata kita datang bersama dan akan tahu berapa jumlah tiket dijual. Saya dah jelaskan semua pembayaran berkaitan dan untung hanya lebih RM4,000 saja.”
“Kita akan penuhkan supaya nampak keadaan cantik. Waktu jumpa Zamani Sabtu lalu, saya buat penjelasan dan keadaannya ketika itu okey. Dia dah jelas semuanya.
“Sebelum berpisah kami bersalaman dan berpelukan. Dia kata tak mengapa dia nak selesaikan pembedahan dan selepas itu kita mula kerja semula macam biasa. Saya tak faham kenapa perkara ini berbangkit.”

Dalam pada itu, Aalan menerusi Harian Metro, menyatakan bahawa ada kemungkinan Julie tersalah faham mengenai perkara ini dan Aalan membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Julie.
“Dia mungkin tidak tahu perkara sebenar berkenaan tiket yang tidak habis dijual, tetapi pada masa sama penonton dilihat memenuhi tempat duduk yang disediakan.
“Saya anggap ini hanyalah salah faham kecil dalam satu keluarga dan tidak menyalahkan dia sepenuhnya atas apa yang berlaku. Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan sesama kami dan bukan membawanya keluar.
“Mungkin dia tertekan memikirkan keadaan suaminya yang bakal menjalani pembedahan serta pelbagai masalah lain sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian.”
Alan juga ada menjelaskan setiap perincian hasil kutipan konsert tersebut, katanya kutipan itu dibuat untuk pembayaran pemuzik, artis undangan dan permit DBKL yang memakan kos sehingga RM 111,485 dan baki yang tinggal hanyalah RM4,635 dan itulah yang diberikan kepada Zamani.
“Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang,” katanya yang mendoakan pembedahan Zamani minggu depan berjalan lancar.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


