Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Kalau anda selalu menonton atau mendengar kandungan true crime di media sosial, korang mungkin pernah terjumpa video tentang pembunuh bersiri atau kes pembunuhan sebenar.
Pun begitu, adakah anda mengetahui bahawa wujud satu sub-kultur internet dikenali sebagai True Crime Community (TCC) yang turut mendapat perhatian kerana sesetengah pengikutnya mengagungkan pelaku keganasan?
TCC ialah singkatan bagi True Crime Community, iaitu komuniti dalam talian yang membincangkan jenayah sebenar, termasuk kes pembunuhan dan serangan bersenjata.
Artikel berkaitan: Kes Serang Guru Di Kuching: Polis Sahkan Pelajar Bawa Mercun & Kap*k Cederakan Guru
Artikel berkaitan: Kes Tikam Bandar Utama: Tertuduh Mengaku Suka Mangsa Sebelum T*kam 200 Kali

Menurut Anti-Defamation League (ADL), komuniti ini mempunyai pelbagai kelompok, daripada peminat yang mengkaji kes jenayah hinggalah individu yang memuja pelaku keganasan.
Bagaimanapun, bukan semua peminat true crime terlibat dalam aktiviti ekstrem. Kebimbangan timbul apabila penjenayah dianggap sebagai idola dan perbuatan mereka dijadikan bahan kekaguman.
Video ‘Gore’ dan Pemujaan Pembunuh
Antara kandungan yang dikaitkan dengan kelompok ekstrem TCC ialah video gore, gambar grafik dan video suntingan yang menampilkan pelaku serangan sebenar.
Lebih terperinci, gore ini merujuk kepada bentuk paparan kekerasan ekstrem, sadis, dan realistik yang memperlihatkan tumpahan darah yang banyak, koyakan daging, atau organ dalaman manusia/haiwan.

Malah, ada juga content yang menggunakan muzik, meme dan gaya suntingan seperti video peminat selebriti, sekali gus menjadikan individu yang melakukan keganasan seolah-olah figura popular.
Menurut ADL, pemujaan terhadap pelaku serangan boleh mewujudkan persekitaran yang menggalakkan peniruan keganasan oleh individu tertentu.
Kenapa Remaja Boleh Tertarik?
Antara faktor yang mungkin memainkan peranan ialah keinginan untuk diterima, rasa tergolong dan pencarian identiti dalam komuniti dalam talian.
Bagi sesetengah individu, interaksi dengan kelompok yang berkongsi minat sama boleh memberikan rasa dihargai. Namun, dalam komuniti ekstrem, perkara ini boleh berkembang menjadi obsesi terhadap kematian dan keganasan. Malah, ada yang melampaui sehinggakan cuba untuk meniru dan membuat semula aksi berkenaan.
Walau bagaimanapun, minat terhadap jenayah atau kandungan seram tidak bermaksud seseorang remaja akan menjadi ganas.
Adakah TCC Benar-benar Berbahaya?
Dalam laporan yang dikemas kini pada September 2026, ADL menyatakan penyelidiknya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 28 serangan di seluruh dunia yang dikaitkan dengan TCC sejak 2024, dengan 19 daripadanya membawa maut.
Angka tersebut merupakan dapatan pemantauan ADL, bukannya statistik rasmi global.
Fenomena ini menunjukkan mengapa penyebaran kandungan yang mengagungkan pelaku keganasan perlu diberikan perhatian, khususnya apabila golongan muda terdedah kepada komuniti ekstrem di internet.
Kesimpulannya, TCC bukan sekadar tentang minat terhadap kisah jenayah. Kebimbangan timbul apabila tragedi sebenar dijadikan hiburan sehingga pelaku dipuja dan penderitaan mangsa diketepikan.
Sebab itu, penting untuk kita memahami kandungan yang dikonsumsi remaja di media sosial tanpa terus melabel semua peminat true crime sebagai berbahaya.
Sumber: ADL
Sumber: ADLArtikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.
