Apa kesan berlari ketika jerebu?

Health & Fitness
10 Oct 2026 • 11:48 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Apa kesan berlari ketika jerebu?

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan menangguhkan aktiviti sukan dan senaman di luar apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100 bagi mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran udara.

Public Health Malaysia menerusi perkongsian di media sosial mengingatkan bahawa aktiviti seperti berjoging ketika jerebu boleh meningkatkan jumlah bahan pencemar yang disedut ke dalam paru-paru berikutan kadar pernafasan yang bertambah ketika bersenam.

Menurut perkongsian itu, ketika melakukan aktiviti fizikal, seseorang akan bernafas dengan lebih cepat dan dalam bagi memenuhi keperluan oksigen badan.

Bagaimanapun, dalam keadaan berjerebu, peningkatan kadar pernafasan itu turut menyebabkan lebih banyak udara tercemar disedut ke dalam sistem pernafasan.

“Semakin laju dan dalam kita bernafas, semakin banyak udara tercemar masuk ke paru-paru,” menurut perkongsian itu.

Public Health Malaysia turut menjelaskan bahawa zarah halus PM2.5 boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru sehingga ke bahagian alveoli, sekali gus berpotensi mencetuskan keradangan dan memburukkan masalah pernafasan.

Lebih membimbangkan, seseorang mungkin masih mampu berlari sejauh lima atau 10 kilometer tanpa mengalami sebarang gejala ketara.

Namun, ketiadaan gejala seperti sesak nafas tidak bermakna paru-paru tidak terdedah kepada pencemaran udara.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengutamakan kesihatan dengan menangguhkan aktiviti fizikal di luar ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Perkongsian itu turut membangkitkan persoalan mengapa aktiviti sukan boleh dihentikan ketika hujan lebat dan petir, tetapi masih diteruskan ketika udara tidak sihat.

“Sukan boleh tunggu. Kesihatan jangan dipertaruhkan,” menurut perkongsian itu.

The post Apa kesan berlari ketika jerebu? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved