
KULIM – Seorang penduduk Taman Desa Makmur, Lunas, di sini bimbang akan keselamatan keluarganya susulan kejadian tebing anak sungai berhampiran rumahnya runtuh dalam kejadian hujan lebat semalam.
Menurut Naveen Raj, 43, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu mengakibatkan sebahagian tanah berhampiran rumahnya mendap dan runtuh sepanjang sembilan meter, selain merosakkan tembok serta pagar rumah.
Katanya, keadaan bertukar cemas apabila arus anak sungai yang deras menghanyutkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang tersadai selama dua tahun dan tidak diketahui pemiliknya.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah dan terdengar bunyi seperti rekahan. Sebaik keluar, saya nampak tanah mulai runtuh dan arus deras membawa tanah serta kenderaan seperti kejadian banjir.
“Nasib baik dua anak saya tidak bermain di kawasan tersebut ketika kejadian. Jika mereka berada berhampiran, saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku,” katanya ketika ditemui hari ini.
Naveen Raj membuat aduan berhubung masalah tersebut melalui aplikasi pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 31 Mei lalu disusuli laporan kedua pada 25 Jun, namun mendakwa tiada tindakan diambil sehingga berlaku runtuhan.
Katanya, sebelum kejadian, terdapat retakan kira-kira 30 meter di jalan berhampiran kawasan berkenaan, selain kesan rekahan yang kelihatan di bahagian lantai rumahnya selepas kejadian tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Khairul Anuar Ramli berkata, runtuhan tebing turut menyebabkan tembok dan pagar rumah mangsa rosak selain berlaku mendapan tanah yang agak kritikal.
“Saya telah menghubungi pihak Majlis Perbandaran Kulim dan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memaklumkan kejadian serta mendapatkan tindakan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tebing rumah runtuh, Honda CR-V hanyut dalam sungai appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Jeritan wanita gagalkan cubaan ceroboh rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/CEROBOH-RUMAH-1024x768.jpg)
